SKUAD hoki lelaki kebangsaan meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya memperolehi kemenangan kedua berturut-turut apabila membenam Korea Selatan 5-4 dalam aksi Hoki Piala Asia di Jakarta.

Dua jaringan daripada Norsyafiq Sumantri dan Razie Rahim serta satu gol daripada Ashran Hamsani cukup untuk memberikan tiga mata dan meletakkan Malaysia semakin hampir ke Piala Dunia Hoki 2023.

Malaysia berjaya mendahului 4-1 pada suatu ketika sebelum Korea Selatan bangkit memberikan saingan namun skuad negara berjaya bertahan untuk mencatat kemenangan.

Norsyafiq Sumantri meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-11 menerusi gol padang dan kedudukan ini kekal sehingga tamat suku pertama.

Dua minit memasuki suku kedua, Razie Rahim menggandakan kedudukan Malaysia apabila berjaya menolak masuk pukulan sudut penalti sebelum Korea Selatan mendapat gol pembukaan pada minit ke-25 menerusi Yang Jihun juga melalui pukulan sudut penalti.

Gol itu nyata membakar semangat pemain negara apabila Razie Rahim sekali lagi menjaringkan gol dua minit kemudian untuk menamatkan babak pertama dengan kedudukan 3-1.

Ashran Hamsani meletakkan Malaysia 4-1 di hadapan pada minit ke-32 menerusi sudut penalti sebelum Korea Selatan bangkit dengan gol penalti stroke pada minit ke-34 sebelum satu lagi gol pada minit ke-40 untuk merapatkan jurang kepada 4-3.

Razie Rahim sekali lagi muncul pakar pukulan sudut penalti apabila berjaya menjaringkan gol kelima negara dan kedua peribadinya pada minit ke-52 sebelum Yang Jihun sekali lagi merapatkan kedudukan kepada 4-5 dengan perlawanan berbaki empat minit.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan barisan negara berjaya bertahan untuk memenangi perlawanan ini sekaligus menyukarkan laluan Korea Selatan yang seakan tidak percaya tewas kepada Malaysia.

Dengan dua kemenangan Malaysia bakal menjadi juara Kumpulan B jika berjaya menewaskan Bangladesh pada perlawanan terakhir yang dijadualkan pada Khamis nanti.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Bangladesh mencatat kemenangan sulung apabila membenam Oman 2-1 sekaligus menyaksikan wakil Timur Tengah itu tersingkir dari perebutan tempat ke Piala Dunia.