PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Mutiara Impian MSSPP-PSHA 4-0 dalam aksi pembuka tirai Liga Hoki Wanita Malaysia, Ahad
Turun selaku tuan rumah, TLHT mula mencemaskan kubu lawan melalui percubaan sudut penalti Nur Syafiqah Mohd. Zain pada minit ketujuh.
Pemain berpengalaman, Fazilla Sylvester Silin kemudian memecahkan kebuntuan pada minit ke-22 disusuli tolakan Nur Atira Mohamad Ismail berpunca gerakan sudut penalti, dua minit kemudian.
Mendahului 2-0, TLHT berpeluang menjaringkan gol ketiga melalui gerakan solo Nur Atira pada minit ke-35 namun dinafikan penjaga gol lawan, Nur Syaza Haziqah Hussin.

Pasukan tuan rumah berjaya meraih tiga mata pertama liga musim ini untuk menewaskan pasukan pelawat berkesudahan 4-0 Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Ahad.
Usaha tuan rumah menambah jaringan berhasil apabila Fazilla menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-39 sekaligus menjadikan kedudukan 3-0 buat TLHT.
Bekas penyerang negara, Nur Syafiqah Mohd. Zain melengkapkan kemenangan TLHT juga menerusi gerakan sudut penalti pada minit ke-47 dan kedudukan 4-0 kekal sehingga tamat.