BAHANG saingan Piala Dunia Hoki 2023, di India bulan ini makin dirasai apabila sembilan hari sahaja lagi, kejohanan akan bermula.

Di kem negara, segala persiapan sudah dilakukan malah latihan terakhir berlangsung semalam juga menampakkan perubahan positif.

Namun menjelang aksi pembukaan untuk skuad kebangsaan, cabaran getir menanti mereka apabila dijadual menentang pasukan ranking ketiga dunia, Belanda pada 14 Januari.

Penyerang prolifik Speedy Tigers, Faizal Saari berkata, keputusan positif daripada perlawanan pertama itu sangat penting, sebagai congakan kepada perlawanan berikutnya.

Faizal Saari juga berpengalaman beraksi di Liga Belanda.

“Masing-masing ada kelebihan, jadi pada perlawanan pertama, perlu bijak ambil peluang kerana seperti kita tahu, Belanda pasukan yang kuat.

“Sedikit sebanyak pengalaman bermain di Belanda, saya ada info buat pasukan kita. Jadi ia pasti dapat membantu rancangan perlawanan kita nanti,” kata Faizal, ditemui pada sesi latihan terakhir di Stadium Hoki Nasional.

Menurutnya, apa juga keputusan dicapai pada perlawanan pertama yang akan berlangsung di Stadium Hoki Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela dalam kumpulan C itu, bakal menjadi panduan untuk dua perlawanan seterusnya, menentang Chile dan New Zealand.

Faizal sebelum ini beraksi dalam Liga Hoki Belanda, menjadi harapan besar pengendali A Arulselvaraj, namun kebelakangan ini, terutamanya dalam aksi di Piala Negara-Negara yang berlangsung di Afrika Selatan, awal bulan ini, dia seakan ‘berkarat’.

Mengimbas kembali, perlawanan pertama Piala Dunia 2018, Malaysia menentang Belanda dalam aksi kumpulan D.

Ironinya, Malaysia pernah berada satu kumpulan dengan Belanda (kumpulan D) pada Piala Dunia 2018 dan Belanda juga lawan pertama mereka pada edisi tersebut yang menyaksikan skuad negara ketika itu tewas 0-7.

Menurut Faizal, dia sedar akan cabaran yang diberi Arul kepadanya, supaya mendapatkan kembali sentuhan yang seakan hilang itu.

“Saya tidak tertekan. Coach Arul beri tanggungjawab tersebut jadi saya perlu ambilnya sebagai pemain senior. Cabaran ini bagus supaya saya alert dan tahu tugas saya dan saya akan buat sehabis baik,” katanya.

Aksi Faizal Saari pada Piala Negara-Negara, ketika menentang Korea Selatan, awal bulan ini.

Pada Piala Negara-Negara lalu, Faizal hanya menjaringkan satu gol daripada lapan jaringan yang direkodkan Speedy Tigers.

Berbanding dalam aksi skuad kebangsaan sebelum ini, Faizal sering menjadi penjaring utama Speedy Tigers, seperti muncul penjaring terbanyak kejohanan di Piala Asia 2017, Liga Hoki Dunia 2015, Trofi Juara-Juara Asia 2013 dan Piala Sultan Azlan Shah 2013.

Piala Dunia Hoki 2023 akan berlangsung di Bhubaneswar dan Rourkela pada 13 hingga 29 Januari ini.

Speedy Tigers menjalani latihan terakhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Skuad negara akan berlepas ke Bhubaneswar, India Jumaat ini (6 Januari) menaiki penerbangan jam 5 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebagai pemanas badan, Speedy Tigers akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan ranking kelapan dunia, Sepanyol pada 11 Januari.

Aksi sebenar bermula 14 Januari, skuad negara dijadual menentang Belanda, sebelum berdepan Chile pada 16 Januari dalam aksi di Rourkela.

Perlawanan terakhir kumpulan C antara Malaysia dan New Zeland pula akan berlangsung pada 19 Januari di Stadium Hoki Kalinga, Bhubaneswar.