PASUKAN Young Tigers sekali lagi mempamerkan karakter dan semangat tinggi biarpun terpaksa akur dengan kekalahan 3-1 kepada Afrika Selatan dalam aksi klasifikasi tempat ke-9 hingga 16 Piala Dunia Hoki Remaja 2025 di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan, Chennai.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia akan bersaing dalam saingan klasifikasi tempat ke-13 hingga 16 nanti.
Pengendali pasukan, Nor Saiful Zaini berkata Afrika Selatan mempunyai kekuatan di bahagian serangan serta tengah dan ia sedikit sebanyak menganggu rentak permainan Malaysia dalam perlawanan ini.

Antara penyokong Malaysia yang hadir bagi memberikan sokongan moral kepada pasukan Young Tigers.
“Secara keseluruhan, permainan kita okay namun ia boleh diperbaiki lagi menjelang pertemuan dengan Jepun atau Australia lusa,” katanya selepas perlawanan.
Afrika Selatan membuka jaringan pada minit ke-18 hasil pukulan sudut penalti Jaydon Brooker. Beliau menambah jaringan pada minit ke-39, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti.

Malaysia menjaringkan satu gol melalui pukulan sudut penalti oleh Muhd Aqil Danial pada minit ke-48 namun Afrika Selatan menoktahkan titik kebangkitan Malaysia apabila Ross Montgomery menjaringkan gol ketiga Afrika Selatan pada minit ke-58.
Malaysia kini akan bertemu sama ada Jepun atau Australia bagi klasifikasi tempat ke-13 hingga 16 pada 6 Disember ini.