MOHAMAD Rafaizul Mohamad Sani tidak mahu leka lagi pada perlawanan menentang Australia esok, yang menjadi misi hidup mati Young Tigers untuk mencapai sasaran ke suku akhir.
Penjaga gol skuad hoki remaja negara itu mahu menebus kesilapan yang dilakukannya ketika bertemu juara bertahan, Argentina semalam sehingga membolehkan pasukan lawan memperoleh dua gol pertama hasil kelekaannya sebelum Malaysia tewas 0-4.
“Saya sedia ambil tanggungjawab apabila bertemu Australia dan pastikan saya dapat beraksi lebih baik daripada perlawanan hari ini (semalam).
“Saya mahu mencabar diri saya sendiri… kita mampu bersaing dengan Australia,” katanya, yang hanya dibolosi satu gol ketika skuad negara mencatatkan kemenangan 7-1 ke atas Chile pada perlawanan pertama.

Penjaga gol remaja kebangsaan, Mohamad Rafaizul Mohamad Sani mahu tebus kesilapan ketika menentang Argentina.
Mengulas kesilapan dilakukannya itu, Rafaizul mengakui hilang fokus menyebabkan Argentina memperoleh gol pertama menerusi jaringan padang Bautista Capurro minit ke-20 sebelum dibolosi lagi minit ke-28 hasil gol padang Marco Aguirregomezcorta.
“Untuk gol pertama ia memang salah saya kerana kurang fokus. Saya sepatutnya lebih fokus.. eye on ball. Gol kedua Argentina pula saya sepatutnya lebih tenang dan pantas bertindak,” katanya.
Rafaizul tewas lagi pada separuh kedua selepas Argentina memperoleh pukulan sudut penalti pertama mereka minit ke-44 dan ia disempurnakan oleh Inaki Minadeo sebelum Juan Fernandez menambah gol keempat menerusi jaringan padang minit ke-48.