SKUAD hoki remaja kebangsaan memulakan ‘langkah kiri’ aksi pertama Piala Sultan Johor apabila tewas 2-3 kepada New Zealand di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru pada Jumaat.
Seawal minit keenam, skuad Young Tigers telah dikejutkan dengan gol pertama New Zealand menerusi penalti ‘corner’ oleh Aldred Luke.
Selang seminit selepas itu, Malaysia terus bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penalti ‘stroke’ oleh Harizan Faris.
Malaysia dan New Zealand kemudianya berbalas serangan dan akhirnya jaringan kedua dimiliki oleh Cosslett Scott dari New Zealand menerusi penalti ‘corner’ pada minit ke -15.
Tidak lama kemudian, gol penyamaan telah hadir menerusi pukulan sudut penalti oleh Harizan Faris pada minit ke-24 sekaligus memberikan dua gol peribadi buat Faris.
Semangat yang bersemarak di kalangan barisan pemain bimbingan Muhamad Amin Rahim itu seterusnya telah diganggu oleh jaringan New Zealand melalui Hickson James pada minit ke-33.
Berbaki 10 minit lagi sebelum perlawanan berakhir, beberapa penalti ‘corner’ yang diberikan kepada Malaysia tidak berjaya disempurnakan dengan baik.
Akhirnya, skuad Young Tigers gagal membuktikan kekuatan mereka selepas New Zealand terus mendahului hingga tamat minit ke-60 dengan mata 3-2.
Perlawanan kedua peringkat Kumpulan B antara Malaysia dan India dijadualkan akan berlangsung pada 28 Oktober 2023, 8.30 malam.