PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal menggesa skuad hoki lelaki negara mencontohi semangat juang tinggi pasukan Pakistan menjelang kempen Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang akan bermula 15 Jun ini.

Menurut Subahan, Pakistan bukanlah pasukan yang mewah dari segi kemudahan dan sokongan kewangan, namun barisan pemainnya tetap beraksi dengan penuh semangat dan komitmen setiap kali turun ke padang, apatah lagi ketika beraksi di pentas antarabangsa.

“Pakistan adalah contoh yang jelas… dengan serba kekurangan, mereka tetap menampilkan semangat juang luar biasa. Jadi saya mahu pemain negara mempunyai semangat sama, lebih-lebih lagi apabila bermain di tempat sendiri,” katanya, pada sidang media pengumuman penyertaan skuad wanita kebangsaan ke Piala Negara-Negara 2 di Poland dan majlis pelancaran jersi baharu pasukan itu yang ditaja Mizuno, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak; ketua jurulatih skuad wanita, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim dan Pengurus Pemasaran (Negara) Mizuno, Darren Wong.

Subahan menegaskan bahawa pihak pengurusan sudah memainkan peranan dengan sebaik mungkin, termasuk membawa kejohanan bertaraf antarabangsa ke tanah air, namun pada akhirnya, penyokong tetap mahu melihat prestasi skuad Speedy Tigers di atas padang.

“Pihak pengurusan boleh beri pelbagai kemudahan termasuk gaji, pakaian dan sokongan lain. Mungkin tidak mewah, tapi ia tetap mencukupi dan disediakan tepat pada waktunya. Selebihnya bergantung kepada pemain untuk menterjemahkan segala usaha itu,” katanya.

Beliau turut menyentuh soal kepercayaan yang diberikan kepada barisan jurulatih berkaliber, sambil berharap ia diterjemahkan dengan prestasi cemerlang di padang sebagai tanda penghargaan terhadap usaha keseluruhan pasukan pengurusan.

Malaysia dijadual membuka tirai kejohanan menentang Pakistan pada 15 Jun, diikuti pertemuan dengan New Zealand (16 Jun) dan Jepun (18 Jun) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.