Oleh MOHD FARIQ
HARI ini boleh dikatakan semua orang seakan tidak sabar untuk turun tonton perlawanan Harimau Malaya.
Baik perlawanan persahabatan atau pertandingan, penyokong-penyokong sentiasa teruja melihat kelibat pemain berkualiti antaranya seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Safawi Rasid.
Menjelang aksi perlawanan persahabatan menentang Syria dan China di Chengdu, rata-rata peminat sentiasa membicarakan pasukan kendalian Kim Pan-gon ini menunjukkan betapa skuad Harimau Malaya sentiasa mendapat perhatian.
Tiada lagi negativiti sebaliknya rasa kasih dan sayang ditunjukkan peminat melalui semangat mereka ditunjukkan kepada pasukan kesayangan mereka.
Sejujurnya, penulis sudah dapat merasai getaran atau bahasa orang muda sekarang ‘vibe’ yang mana hubungan di antara pasukan kebangsaan dan penyokong kembali terjalin.
Kenapa penulis berkatakan demikian? Ini kerana sebelum ini tidak ramai yang sanggup turun ke stadium disebabkan pemain-pemain bagaikan hilang aura.
Menyingkap era-era terdahulu di mana keutamaan penyokong yang sanggup turun ke stadium kerana mahu melihat persembahan Azman Adnan atau Zainal Abidin Hassan secara siaran langsung.
Bayangkan pengaruh Azman atau Zainal ketika itu sahaja mampu menarik kira-kira 20,000 penyokong turun ke stadium dan inilah getaran yang penulis maksudkan yang kembali wujud dalam skuad nasional kita sekarang.
Sekarang penyokong mahu melihat Arif Aiman, Faisal atau Safawi dan sekarang kita dapat melihat setiap pemain-pemain kebangsaan telah memiliki tapak penyokong (fan base) tersendiri yang cukup solid, sama seperti penulis melihat era Azman dan Zainal.
Pandangan penulis, budaya adalah satu kemenangan kecil buat bola sepak Malaysia daripada sudut pasukan kebangsaan dan apa yang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) buat iaitu sesi bersama peminat dengan AEON Big baru-baru ini di mana penulis mahu pendekatan ini sentiasa diteruskan secara konsisten.
Pun begitu kita tidak mahu menganggu persiapan Harimau Malaya kerana dalam tempoh tiga bulan bermula September, mereka akan menumpukan perhatian dalam perjalanan ke Piala Asia 2024.
Malah jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sendiri menegaskan tiada masa lagi untuk eksperimen dan inilah waktu untuk momentum pasukan kebangsaan menjadi 100 peratus terbaik bermula daripada sekarang apabila mereka masih memiliki 136 hari sebelum turun untuk aksi pertama Piala Asia 2024 bertemu Jordan pada 16 Januari tahun depan.
Pemain-pemain yang melibatkan diri dalam kejohanan seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC pun sangat penting di mana ia akan membantu lagi meningkatkan kualiti Harimau Malaya permainan.
Namun apa yang membangkitkan lagi nostalgia penulis selepas FAM telah mengumumkan Pesta Bola Merdeka kembali mewarnai kalendar bola sepak negara pada Oktober depan.
Penulis tidak mahu terlepas untuk merakamkan pujian dan syabas kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang telah mengambil inisiatif untuk kembali menganjurkan kejohanan yang memiliki sarat memori-memori indah pasukan kebangsaan.
Benar bahawa kejohanan ini yang disertai Tajikistan, India dan Palestine dilihat menjadi medan skuad kendalian Kim Pan-gon menguji anak-anak buahnya sebelum bermain di Piala Asia 2024 Qatar tetapi penyokong-penyokong masa kini harus tahu bahawa Pesta Bola Merdeka adalah salah satu sentimen penting buat bola sepak negara.
Pada fikiran penulis, kejohanan ini secara tidak langsung mengajak golongan pesimis untuk terus memberikan sokongan teguh kepada pasukan kebangsaan sekali gus mengajak mereka menghayati Pesta Bola Merdeka.
Sekali lagi penulis mahu memberikan pujian kepada FAM yang berani mengembalikan semula kejohanan biarpun getarannya sudah tidak sama seperti era-era lalu.
Sementara itu, penulis juga mahu memberikan pujian kepada AEON Big yang telah bekerjasama dengan FAM.
Sekali lagi, AEON Big telah menjadi sentimen penting getaran bahang bola sepak negara dan mereka kini telah menjadi sebahagian dalam agenda nasional untuk membantu pasukan kebangsaan.
Sifir penulis mudah – jika ada mana-mana syarikat korporat turun berganding bahu bekerjasama dengan persatuan sukan, mereka adalah wira yang tak didendang yang sepatutnya diketengahkan.
Penulis juga cukup ceria menyaksikan majlis perasmian FAM dan AEON Big mencapai sukses apatah lagi pemain-pemain Harimau Malaya turut turun padang beramah mesra dengan penyokong-penyokong yang hadir.
Inilah semangat serta karakter yang mahukan, simbosis penting buat bola sepak negara kita.
Justeru penulis berharap akan lebih banyak lagi mana-mana pihak tampil membantu bola sepak tempatan dan ingatlah setiap kejayaan bermula dengan satu langkah yang kecil.
Akhir kata daripada penulis, jika semua pihak merangkaikan usaha sama membantu bola sepak negara, tak mustahil Malaysia akan layak ke Piala Dunia suatu hari ini, Insya-Allah.
Demi lencana di dada!