IBU kepada pemain bola sepak yang terbunuh semasa keluar malam telah meninggal dunia setelah disahkan menghidap kanser.
Jordan Sinnott meninggal dunia pada Januari 2020 pada usia 25 tahun selepas diserang oleh tiga penjenayah yang mabuk di Retford, Nottinghamshire.
Hanya seminggu selepas upacara pengebumian Sinnott, pasangannya Kelly mendapat tahu dia hamil 12 minggu dengan anak perempuan mereka, Maisie.
Kini, dalam satu lagi tragedi lain bagi keluarga itu, ibunya, Melanie Tait, 54, telah disahkan meninggal dunia selepas berjuang melawan kanser.
Melanie telah menghabiskan tahun-tahun terakhirnya dengan menubuhkan sebuah badan amal untuk memperingati anaknya dan melakukan sukan terjun udara yang ditaja untuk mengenang anaknya awal tahun ini.
Dalam satu hantaran di media sosial Facebook pada hari Ahad, badan amal itu berkata: “Dengan hati yang paling berat, kami ingin berkongsi berita duka bahawa semalam selepas lama bertarung dengan kanser, Melanie kami yang cantik telah pergi.”
“Kami benar-benar sedih dengan pemergiannya. Berikan Jord pelukan erat dari kami Melanie, kami menyayangi kamu berdua tanpa syarat.”
Pada 31 Julai 2020, Denovan, 22, dan Matthews, 21 tahun, dipenjarakan selama 11 tahun dan lapan tahun dan tiga bulan masing-masing selepas didapati bersalah membunuh secara tidak sengaja di Mahkamah Nottingham Crown.
Terdahulu, Jordan telah melamar Kelly pada Krismas hanya empat minggu sebelum kematiannya dan telah keluar dengan Kelly dan rakan-rakan di bandar pasar untuk meraikannya. Dalam saat terakhirnya bersama Kelly, dia menyanyikan lagu kegemarannya, Sweet Caroline di sebuah pusat hiburan.

Denovan (kiri) dan Matthews dituduh membunuh Jordan Sinnott.
Jordan dan dua rakan kemudian pergi minum di kelab malam berdekatan ketika Kelly pulang ke rumah kira-kira tengah malam. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Denovan dan Matthews mengikuti mereka bertiga ke kelab malam The Vine pada kira-kira 1.40 pagi dengan pendakwa raya menggambarkan mereka sebagai samseng yang mengejar dan membalas dendam.
Salah seorang dari penjenayah itu memberitahu Jordan bahawa dia seorang lelaki yang kacak dan mudah ‘mendapatkan mana-mana gadis’, tidak sepertinya yang gemuk dan berambut halus. Jordan yang menyangka mereka sedang bergurau menjawab: “Ya saya boleh melihatnya.”
Mahkamah mendengar komen Denovan sebagai ‘perangkap yang disengajakan’ untuk mencetuskan pergaduhan antara mereka. Denovan kemudian segera berang dan memukul Jordan dua kali di wajah sebelum Jordan dan rakan-rakannya berjaya meninggalkan kelab malam itu.
Lelaki samseng itu kemudian mengikuti mereka ke kedai makanan segera berdekatan dan memulakan semula serangan mereka. Denovan memukul Jordan sekali lagi dan Matthews kemudian memukulnya sebanyak “dua atau tiga kali”, menyebabkan pemain bola itu tehantuk kepalanya ke atas lantai ketika dia jatuh ke belakang di atas tanah.
Jordan kemudiannya dibawa ke hospital namun dia disahkan telah meninggal dunia bersama keluarganya di sisi sekitar jam 6 petang pada Sabtu, 25 Januari.