PENJAGA gol Negeri Sembilan FC yang namanya semakin meniti di bibir penyokong, Sikh Izhan Sikh Azman hanya mengetuai namanya tersenarai dalam senarai pemain ke kem latihan pusat Harimau Malaya selepas mendapat mesej daripada ibunya.

Sikh Izhan adalah antara lapan pemain baharu yang dipanggil pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan skuad negara di Johor untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Dia juga turut memuji jurulatihnya yang banyak membantu dirinya beraksi cemerlang dan kini berdiri sebaris dengan penjaga gol negara yang lain seperti Syihan Hazmi dan Kalamullah Al-Hafiz.

Sikh Izhan ketika beraksi dengan NSFC

“Saya bersyukur kerana berjaya masuk ke kem latihan pusat skuad kebangsaan buat pertama kali. Ini adalah berkat doa kedua ibu bapa saya dan kawan-kawan serta rakan sepasukan yang banyak memberi dorongan. Jika saya dapat beraksi saya akan berikan aksi terbaik seperti yang saya tunjukkan di Negeri Sembilan.

“Pada mulanya saya tidak tahu. Saya terperanjat kerana saya sudah bersedia untuk panggilan ke skuad B23. Tidak sangka pula kali ini saya dipanggil ke skuad senior. Saya teruja dan hanya mendapat tahu apabila mak saya mesej. Saya masih belum sampai tahap terbaik tapi akan berikan yang terbaik.

“Coach Megat dia memang garang dan sangat keras dalam latihan sampai saya muntah ketika pramusim. Saya tidak pernah dapat jurulatih penjaga gol sebegini kerana tahap penjaga gol di Liga Super adalah lebih tinggi dan dia mahu siapkan saya untuk jadi penjaga gol yang baik,” katanya ketika ditemubual FLASH SUKAN.

Bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari itu juga tidak mahu terbuai dengan pujian yang sedang dia terima dan kini akan fokus pada sesi latihan Harimau Malaya untuk memikat barisan kejurulatihan seterusnya melakukan debut bersama skuad senior kebangsaan.