MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji semangat luar biasa ditunjukkan pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim yang bangkit cemerlang selepas hampir dua tahun bergelut dengan detik sukar dalam kariernya.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey, mencuri tumpuan apabila kembali meledak bersama skuad negara — menjaringkan satu gol dalam kemenangan 5-1 ke atas Laos pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Ia menjadi jaringan keduanya dalam dua perlawanan berturut-turut selepas turut menemui sasaran ketika kemenangan 3-0 di Vientiane minggu lalu.

Lebih manis, jaringan itu hadir ketika pemain berusia 27 tahun itu kembali diturunkan dalam kesebelasan utama buat pertama kali sejak tragedi simbah asid yang hampir menamatkan kariernya tahun lalu. Persembahan bertenaga dan penuh semangat itu dianggap simbol kebangkitan seorang pejuang.

Foto FB Hannah Yeoh

Hannah menerusi hantaran di laman Facebook menzahirkan rasa bangga terhadap semangat Faisal yang disifatkan sebagai lambang ketabahan dan keberanian sebenar seorang atlet. “Tahniah kepada Faisal Halim atas kebangkitan yang luar biasa, sebuah kisah ketabahan dan keberanian yang mengingatkan kita bahawa semangat tidak boleh dipatahkan,” tulisnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya dan penyokong yang terus berdiri teguh bersama pasukan dalam setiap situasi. “Kredit kepada Ultras Malaya dan semua peminat yang terus setia bersama pasukan ketika kita berada di puncak mahu pun saat sukar. Semangat anda adalah nadi bola sepak negara,” katanya lagi.

Foto FB Hannah Yeoh

Aksi menentang Laos sememangnya menjadi malam yang menggembirakan buat skuad kendalian Peter Clamovski apabila bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan Faisal sebelum Romel Morales menambah dua gol, disusuli jaringan sendiri pemain lawan Khammanh Thapaseut dan gol Paulo Josue untuk melengkapkan pesta lima gol.

Hannah dalam masa sama turut memuji disiplin dan karakter yang ditunjukkan pemain serta barisan kejurulatihan. “Syabas kepada ketua jurulatih, Peter Clamovski dan seluruh pasukan atas persembahan mantap malam ini. Teruskan momentum ini,” ujarnya.

Kemenangan itu bukan sekadar memastikan tiga mata penuh, tetapi turut menjadi simbol kekuatan semangat Faisal Halim yang kini menulis bab baharu dalam perjalanan luar biasanya — daripada tragedi ke kebangkitan.