Atlet kecergasan negara, K Jey Prabakaran Thevar atau lebih dikenali sebagai Dr KJey bakal menguji kemampuan fizikalnya menerusi satu cabaran baharu dalam usaha mencipta rekod peringkat Asia.
Selepas mencatat tiga rekod dunia dalam cabaran kardio dan angkat berat tanpa henti selama 18 jam, atlet berusia 29 tahun itu kini menyasarkan untuk melakar nama dalam Asia Book of Records.
Cabaran kali ini menyaksikan Dr KJey akan melengkapkan tiga jenis latihan iaitu leg extension, squat dan jumping jacks dalam tempoh kira-kira lima jam pada hari yang sama.
Jika berjaya, pencapaian itu akan menjadi peningkatan daripada rekod Malaysian Book of Records (MBOR) yang dilakukannya sempena Hari Sukan Negara tahun lalu apabila beliau menyelesaikan setiap cabaran sebanyak 3,000 kali.
“Semasa rekod MBOR, saya melakukan ketiga-tiga cabaran itu dalam tempoh dua hari, iaitu most squat dan jumping jacks pada hari pertama, manakala leg extension pada hari berikutnya,” katanya.
Kali ini, kesemua cabaran tersebut akan dilakukan dalam satu hari di Nethaji Hall, Kuala Lumpur pada 1 November bagi memburu rekod peringkat Asia.
Selain MBOR, Dr KJey sebelum ini turut mencatat nama dalam Guinness World Records (GWR) dan Influencer Book of World Records, sekali gus menjadikan cabaran terbaharu ini sebagai kesinambungan kepada usaha mencipta pencapaian baharu.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kecergasan Malaysia India (MIFIT) berkata pencapaian dalam bidang rekod itu mahu dimanfaatkan untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai aktiviti kecergasan. MIFIT kini mempunyai lebih 400 ahli di seluruh negara serta cawangan di Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
Dalam masa sama, MIFIT merancang membuka cawangan di Pulau Pinang dengan sasaran mendapatkan 1,000 ahli baharu di seluruh negara. Bagi persiapan menghadapi cabaran November, jadual latihan, pemakanan dan waktu rehat Dr KJey telah disusun jurulatihnya, Mohd Shazwan Mohd Luthfi Ismail, manakala beliau turut menyatakan masih terdapat beberapa jenis latihan seperti back row, chest press dan bench press yang boleh dijadikan sasaran rekod pada masa akan datang.