SELEPAS hampir tiga bulan saingan Liga Super musim lalu melabuhkan tirainya, isu tunggakan gaji di Perak FC terus menjadi topik panas apabila barisan pemain dan pegawai pasukan masih belum menerima bayaran tertunggak selama enam bulan. Lebih memburukkan keadaan, caruman wajib seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut tidak dijelaskan.

Meskipun pihak pengurusan Perak FC sudah mengumumkan penarikan diri daripada saingan musim 2025/2026 yang dijadual bermula Ogos ini, tanggungjawab mereka terhadap pemainserta pegawai pasukan masih belum dilunaskan sepenuhnya. Situasi ini nyata mencetuskan keresahan dalam kalangan mereka yang terlibat secara langsung.

Pengendali pasukan, Yusri Che Lah meluahkan rasa kecewa dengan situasi yang dihadapi. Menurutnya, ini adalah kali pertama beliau berdepan dengan sebuah pasukan yang menghentikan operasi pengurusan namun masih gagal melangsaikan tunggakan gaji. Sebagai perbandingan, beliau pernah bersama pasukan lain yang juga ditutup, tetapi tetap menunaikan tanggungjawab membayar gaji yang tertunggak.

Yusri yang juga bekas pemain kebangsaan berasal dari Perlis turut mendedahkan bahawa isutunggakan gaji bermula seawal Mei 2024, apabila pemain dan pegawai hanya menerima separuh daripada gaji bulanan mereka. Keadaan ini berlarutan sehingga hujung tahun, memberikan tekanan emosi dan kewangan kepada semua pihak yang terlibat.

Yusri Che Lah Pengendali pasukan Perak FC sebelum kelab dibubarkan.

“Saya sendiri menerima gaji penuh untuk bulan Januari 2025, namun saya memilih untuktidak mengambilnya sepenuhnya kerana ingin memastikan pegawai-pegawai pasukan lain turut mendapat bahagian mereka,” ujar Yusri. Beliau turut menambah bahawa pada bulanFebruari, sekali lagi hanya separuh gaji dibayar, manakala untuk Mac dan April tiada sebarang bayaran diterima.

Susulan itu, Yusri telah membawa isu ini ke Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan harapan agar satu penyelesaian dapat dicapai dalam masa terdekat. Walaupun berdepan dengan cabaran kewangan, beliau tetap berjaya membawa Perak FC menamatkan saingan musim lalu di kedudukan ketujuh Liga Super – satu pencapaian yang membanggakan dalam keadaan serba kekurangan.

Dalam perkembangan berkaitan, keputusan mengenai tindakan lanjut terhadap Perak FC kini berada di tangan Malaysian Football League (MFL). Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, sebarang ketetapan hanya akan dibuat selepas mesyuarat ahli lembaga pengarah MFL yang dijadual berlangsung bulan ini.

Sebelum ini, Perak FC telah pun digantung lesen kebangsaan untuk menyertai musim barususulan kegagalan mereka menyelesaikan tunggakan gaji. Kini, tumpuan terarah kepada MFL untuk melihat sejauh mana tindakan tegas bakal diambil terhadap Perak FC demi menjaga kebajikan pemain dan pegawai serta integriti saingan liga.