SELEPAS tiga musim penuh memori manis bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), pemain tengah asal Sepanyol, Juan Muniz secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Harimau Selatan itu menerusi satu hantaran penuh emosi di akaun Instagram miliknya.

Dalam coretan tersebut, Muniz meluahkan penghargaan mendalam terhadap kelab yang telah memberinya peluang untuk menyarung jersi JDT sejak tahun 2023, sekali gus menjadi antara watak penting dalam era dominasi kelab itu di pentas domestik dan serantau.

“Selepas tiga tahun yang tidak akan saya lupakan, tiba masanya untuk saya menutup satu bab istimewa dalam hidup saya. Saya ucapkan selamat tinggal kepada Johor dengan hati yang penuh rasa syukur atas segala pengalaman luar biasa di kelab ini,” tulisnya.

Muniz turut merakamkan ucapan terima kasih khusus buat Tunku Mahkota Johor(TMJ), Tunku Ismail kerana mempercayainya sejak hari pertama.

“Terima kasih juga kepada rakan sepasukan, barisan kejurulatihan serta semua penyokong kerana menjadikan perjalanan ini begitu unik. Johor akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya. Jumpa lagi di masa depan!” tambah Muniz.

Muniz meninggalkan JDT dengan pelbagai pencapaian termasuk membantu pasukan menjulang trofi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA, serta tampil dalam saingan Liga Juara-Juara AFC.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai destinasi seterusnya buat pemain berusia 33 tahun itu, namun pemergiannya pastinya dirasai oleh penyokong setia Harimau Selatan yang sudah menjadikan Muniz sebagai antara pemain import kesayangan di Stadium Sultan Ibrahim.