IMPIAN pengadil Somalia, Omar Artan, untuk mengadili aksi Piala Dunia 2026 mungkin tidak kesampaian selepas dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat, namun pengiktirafan terhadap kredibiliti beliau dalam arena bola sepak antarabangsa terus utuh.
Menurut laporan Associated Press (AP), Artan tetap akan menerima bayaran penuh daripada FIFA walaupun tidak dapat mengendalikan sebarang perlawanan sepanjang kejohanan tersebut dan bayaran itu akan ditentukan selepas tamat Piala Dunia bulan hadapan.
Artan, yang dinobatkan sebagai Pengadil Lelaki Terbaik Afrika 2025, sebelum ini dijadualkan menjadi pengadil pertama dari Somalia yang bertugas di pentas Piala Dunia namun ditahan dan akhirnya dinafikan kemasukan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami dari Istanbul minggu lalu.
Pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat memaklumkan bahawa Artan tidak dibenarkan memasuki negara itu atas faktor berkaitan proses tapisan keselamatan. FIFA pula menjelaskan bahawa urusan imigresen berada di bawah kuasa kerajaan tuan rumah dan badan induk bola sepak dunia itu tidak mempunyai pengaruh terhadap keputusan tersebut.

Penyokong pengadil antarabangsa Somalia, Omar Abdulkadir Artan, mengibarkan bendera dan sepanduk ketika menyambut kepulangannya di Mogadishu pada 10 Jun 2026.
Walaupun berdepan kekecewaan besar, Artan tetap menerima sokongan luar biasa apabila pulang ke Somalia dan disambut sebagai wira serta berhasrat untuk mengejar impian tersebut sekali lagi pada Piala Dunia 2030 yang akan berlangsung di Maghribi, Portugal dan Sepanyol.
Sebagai tanda penghormatan terhadap reputasi dan keupayaannya, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan pelantikan Artan sebagai pengadil bagi perlawanan Piala Super UEFA antara Paris Saint-Germain dan Aston Villa yang akan berlangsung di Salzburg pada 12 Ogos ini.

Omar Abdulkadir Artan dilantik sebagai pengadil perlawanan Piala Super UEFA 2026 antara Paris Saint-Germain dan Aston Villa yang akan berlangsung di Salzburg pada 12 Ogos ini.
Presiden UEFA, Aleksander Čeferin, menyifatkan Artan sebagai pengadil muda yang berkualiti dan berpengalaman di peringkat tertinggi Afrika dan pelantikan tersebut dibuat sebagai simbol penghargaan terhadap profesionalisme Artan serta semangat bahawa bola sepak seharusnya menjadi medium yang menyatukan manusia tanpa mengira sempadan.
Kredit Gambar : HASSAN ALI ELMI / AFP