KELAB Negeri Sembilan FC (NSFC) memasuki musim baharu Liga Super dengan suntikan semangat segar apabila melantik bekas jurulatih Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil sebagai Ketua Jurulatih baharu mereka bagi musim 2025/2026. Pengumuman itu disahkan sendiri oleh Pengerusi NSFC, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun dalam siaran media kelab yang dikeluarkan pada Jumaat.

Berusia 45 tahun, Nidzam bukan nama asing dalam arena bola sepak tanah air. Selain pernah membimbing Selangor, beliau juga pernah mengemudi Felda United, AirAsia FC dan KL SPA FC. Pengalaman luas serta pendekatan taktikal moden yang dibawanya diyakini mampu memberi wajah baharu kepada NSFC yang kini tampil dengan hala tuju lebih progresif dan mampan.

Antara langkah awal yang diambil NSFC di bawah kepimpinan baharu ini adalah memberi penekanan kepada pembangunan bakat muda tempatan, khususnya dari Negeri Sembilan. Fokus ini turut disokong dengan pelantikan barisan pemain utama dan berpotensi tinggi termasuk Luqman Hakim Shamsudin, penjaga gol Azri Ghani, serta pemain pertahanan kebangsaan, Ahmad Khuzaimi Piee.

Tidak hanya bergantung kepada pemain tempatan, NSFC turut dalam proses memuktamadkan beberapa pemain import yang dijangka memperkukuh struktur pasukan dari segi pengalaman antarabangsa dan impak teknikal di atas padang.

Gabungan pemain muda, tempatan berpengalaman dan import berkaliber dijangka membentuk skuad yang lebih kompetitif untuk menghadapi cabaran Liga Super musim depan. Pendekatan holistik ini turut memperlihatkan keseriusan kelab dalam memperkasa pembangunan jangka panjang bola sepak Negeri Sembilan.

NSFC turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong serta pemegang taruh atas kepercayaan berterusan, selain mengalu-alukan kehadiran Mohd Nidzam Jamil yang dilihat sebagai pengemudi baharu dalam era kebangkitan pasukan Negeri Sembilan.