PEMAIN sayap Indonesia, Egy Maulana Vikri mahu dia dan rakan-rakan sepasukan tampil dengan persembahan terbaik apabila menentang pasukan ranking tertinggi Asia, Jepun dengan peluang untuk ke peringkat kalah mati masih boleh digapai.

Indonesia bakal berhadapan juara empat kali Piala Asia itu dalam aksi terakhir Kumpulan D selepas mencatatkan kemenangan ke atas Vietnam ketika perlawanan kedua dan membuka ruang untuk layak ke pusingan 16 terbaik buat pertama kali dalam sejarah mereka di pertandingan ini.

Egy yang bermain selama lima tahun di Eropah sebelum kembali ke Indonesia untuk menyertai Dewa United pada 2023 menegaskan skuad Garuda akan tampil dengan keyakinan penuh terutama selepas kemenangan tempoh hari yang memberikan kepercayaan kepada para pemain untuk membuktikan kemampuan.

“Jepun adalah salah satu pasukan terbaik di Piala Asia sementara Indonesia masih di peringkat pembangunan tetapi pemain sudah bersedia dan kami akan berikan persembahan terbaik dan tidak sabar untuk bertemu pasukan terbaik Asia.

“Kami memenangi perlawanan terakhir dan ianya sangat membantu kami terutama dari segi mental dan kini kami mahukan lebih lagi. Jika berjaya layak ke pusingan seterusnya, kami akan mencipta sejarah buat Indonesia dan ianya seakan mimpi jadi nyata buat seluruh penyokong Indonesia.

“Indonesia masih berpeluang untuk layak dan kami akan berjuang untuknya. Kami mendapat dukungan dari para penyokong dan akan lakukan apa sahaja untuk merealisasikan impian ini,” katanya dalam sesi sidang media pra perlawanan.

Sementara itu, pertahanan Jepun, Takehiro Tomiyasu menggesa benteng skuad Samurai Biru akan menjadi kebal bagi memastikan mereka dapat menewaskan Indonesia pada Rabu sekaligus layak ke pusingan seterusnya.

“Perlawanan ini pastinya satu aksi yang sukar kerana tidak ada perlawanan yang mudah di Piala Asia. Kita perlu belajar dengan kesilapan yang dilakukan ketika tewas kepada Iraq dan bersedia hadapi Indonesia yang akan memberikan segalanya.

“Lawan mungkin akan mengasak kami dari awal perlawanan dan kami perlu bersedia untuk mematahkannya. Sebagai pertahanan, kami telah dibolosi empat kali dalam dua perlawanan berturut-turut oleh itu saya mahukan ‘clean sheet’ dalam perlawanan ini,” jelasnya.

Stadium Al Thumama bakal menjadi saksi perlawanan epik ini dengan kemenangan akan menjamin laluan Jepun mahupun Indonesia ke peringkat 16 terbaik mengikut jejak langkah lapan lagi pasukan yang telah layak.