ENAM kelab Liga Malaysia disahkan memenuhi sepenuhnya keperluan Financial Fair Play (FFP) Malaysian Football League (MFL) setakat penilaian terkini yang melibatkan penyerahan dokumentasi “In-Season” kelima bagi musim 2025-2026.

Jawatankuasa First Instance Body (FIB) FFP MFL memaklumkan Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, DPMM FC dan Imigresen FC berjaya mematuhi semua keperluan kewangan tanpa sebarang tunggakan gaji kepada pekerja mahupun tunggakan kepada agensi kerajaan berkaitan.

Dalam masa sama, Sabah FC, Melaka FC, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC didapati tidak mempunyai tunggakan gaji, namun masih mempunyai tunggakan melibatkan agensi kerajaan. Keempat-empat kelab itu akan menerima peringatan rasmi bagi memastikan bayaran tertunggak dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Kuala Lumpur City FC pula berada dalam perhatian jawatankuasa selepas didapati mempunyai tunggakan gaji kepada pekerja serta tunggakan kepada agensi kerajaan. Kelab berkenaan diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian berkaitan tunggakan tersebut.

Lebih membimbangkan, PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors FC didapati mempunyai tunggakan gaji serta tunggakan kepada agensi kerajaan setakat April 2026.

Kedua-dua kelab itu turut dikenakan denda RM10,000 setiap satu selepas gagal mengemukakan dokumen lengkap bagi Penyerahan “In-Season” Ke-5, sekali gus melanggar Artikel 11 Peraturan FFP Musim 2025-2026.

Selain denda, PDRM FC dan Kelantan TRW turut diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan dokumen yang diperlukan serta mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian bagi tunggakan yang masih belum diselesaikan.

Menurut FIB, penyerahan kelima ini merupakan proses pemantauan “In-Season” terakhir bagi musim 2025-2026 sebelum kelab-kelab beralih ke fasa seterusnya yang melibatkan penyerahan bajet musim 2026-2027 dan deklarasi kewangan setakat Jun 2026.

Pengerusi FIB FFP MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata pihaknya akan terus memantau kedudukan kewangan setiap kelab bagi memastikan amalan tadbir urus yang lebih mampan, bertanggungjawab dan selaras dengan pembangunan bola sepak profesional negara.