PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari mengakui dia tidak suka kepada kekalahan tetapi terpaksa akur selepas tewas tipis 1-0 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi pembukaan Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.

Dia juga turut berbangga dengan aksi anak-anak buahnya yang berjaya mendominasi permainan terutama pada babak kedua cuma tidak berjaya mencari gol penyamaan dan pada masa yang sama, dia tidak meletakkan kesalahan kepada individu kerana ini adalah perkara normal dalam bola sepak.

Ini selepas kesilapan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi yang tersilap percaturan apabila membiarkan gawang terbuka luas hingga membolehkan Marcinho menjaringkan gol tunggal pada minit akhir babak pertama perlawanan.

 

Katanya, kesilapan dalam bola sepak adalah sebahagian daripada permainan itu dan tidak boleh salahkan mana-mana pemain malah Syihan sudah memberi yang terbaik dalam perlawanan itu dan apa yang berlaku adalah takdir.

“Saya tidak suka tewas tetapi jika saya boleh memilih cara untuk tewas, ini adalah caranya kerana kami bermain dengan baik dan memberi tentangan yang baik kepada lawan.

“Selain itu, kami juga berjaya membuatkan lawan sesak nafas pada separuh masa kedua dan ini adalah satu perkara yang positif untuk kelab di peringkat ini.

“Mungkin Syihan mengambil keputusan yang kurang bijak tetapi saya enggan salahkan dia kerana keputusan di buat secara tidak di duga dan gagal untuk menangkap bola malah pemain lawan sempat tanduk kepada Marcinho,” katanya.

Esteban juga mengakui ada beberapa keputusan pengadil yang dilihat tidak menyebelahi mereka meskipun dibantu teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) namun dia tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan sebaliknya menjadikannya pengajaran untuk memperbaiki kesilapan pasukan.

“Kami juga sepatutnya mendapat sepakan penalti selepas Arif dijatuhkan kira-kira dua sentimeter dalam kotak penalti tetapi pengadil meneruskan permainan dan saya anggap tiada rezeki untuk kami dalam perlawanan ini.

“Inilah bola sepak dan kami perlu terus bergerak ke hadapan dan ia juga beri pengajaran buat kami supaya lebih baik pada masa akan datang dan apa jua kesilapan yang dilakukan akan segera diperbaiki,” jelasnya.

JDT bakal meneruskan cabaran dalam Liga Juara-Juara bertemu wakil Thailand, BG Pathum di Stadium Pathum Thani pada 3 Oktober 2023 dengan kemenangan pastinya ditagih bagi memastikan mereka kembali ke landasan yang tepat untuk layak ke pusingan 16 terbaik.