Belanda menamatkan persiapan terakhir menjelang Piala Dunia 2026 dengan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Uzbekistan dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Icahn, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Ronald Koeman terpaksa bekerja keras untuk menundukkan wakil Asia Tengah itu apabila jaringan kemenangan hanya hadir pada minit-minit akhir menerusi sepakan penalti Cody Gakpo.
Belanda yang menguasai sebahagian besar permainan bermula agresif sejak wisel pertama, namun beberapa peluang terbaik gagal diterjemahkan kepada gol.
Gakpo menjadi watak utama serangan Oranje apabila beberapa kali mencetus ancaman, termasuk mencipta peluang buat rakan sepasukan, namun ketumpulan penyudah menyebabkan kedudukan kekal tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
Usaha berterusan Belanda akhirnya membuahkan hasil sekitar sejam permainan apabila pemain sayap, Crysencio Summerville, dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pertahanan Uzbekistan.
Gakpo yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti tidak mensia-siakan peluang apabila tenang menewaskan penjaga gol Uzbekistan untuk meletakkan Belanda di hadapan.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Belanda berdepan satu lagi cabaran selepas pemain gantian, Guus Til, dilayangkan kad merah akibat mengendalikan bola.
Situasi itu memberi ruang kepada Uzbekistan untuk meningkatkan tekanan dan mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Igor Sergeev yang memanfaatkan kekeliruan di kawasan pertahanan lawan.
Ketika perlawanan dilihat akan berakhir dengan keputusan seri, Belanda memperoleh satu lagi penalti pada masa kecederaan selepas Jan Paul van Hecke dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Sekali lagi Gakpo tampil sebagai penyelamat apabila menyempurnakan sepakan tersebut untuk memastikan kemenangan menjadi milik Oranje.
Kemenangan itu memberikan suntikan keyakinan buat Belanda menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Jepun, manakala Uzbekistan boleh mengambil banyak perkara positif daripada persembahan mereka walaupun tewas tipis.
Selain kemenangan tersebut, Belanda turut menerima sedikit kebimbangan apabila penjaga gol utama, Bart Verbruggen, terpaksa dikeluarkan pada babak kedua selepas mengalami kecederaan susulan pertembungan dengan pemain lawan.
Sumber Gambar: Facebook Uzbekistan FA