PERLAWANAN penentuan tempat ketiga Piala Futsal Malaysia (MFC) antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah kecoh selepas tercetus insiden pergaduhan membabitkan jurulatih serta seorang pegawai pasukan Sabah.

Dalam aksi di gelanggang, Sabah terlebih dahulu mendahului 3-1 sebelum JDT bangkit dengan dua gol lewat permainan untuk menang 4-3. Kekalahan dramatik itu nyata menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kem Sabah.

Jurulatih Sabah, Roger Filipe Gouveia Augusto, dilaporkan berang dengan beberapa keputusan pengadil sepanjang perlawanan sehingga emosinya tidak dapat dikawal selepas wisel penamat ditiup.

Beliau kemudian memasuki gelanggang dengan nada agresif sebelum cuba ditenangkan oleh pegawai dan anggota staf pasukan. Namun, keadaan menjadi lebih panas apabila berlaku pertengkaran fizikal.

Augusto dilihat menyiku seorang pegawai yang cuba menghalangnya, sebelum pegawai berkenaan membalas dengan satu tumbukan. Insiden itu berlaku di hadapan penonton dan kamera siaran langsung.

Rakaman kejadian berkenaan segera tular di media sosial, malah turut disiarkan secara langsung di televisyen, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada penyokong dan peminat futsal tanah air.

Ramai penyokong menyifatkan insiden itu memalukan imej pasukan, malah tidak sepatutnya berlaku dalam saingan berprestij. Kedua-dua individu terlibat kini dijangka berdepan tindakan disiplin oleh Jawatankuasa Disiplin FAM.