KETUA Jurulatih Skuad Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia menyarankan agar Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) dilangsungkan hanya dalam satu kumpulan sahaja untuk memastikan setiap pasukan mempunyai lebih perlawanan kompetitif di masa akan datang.
Mengikut format terkini, 14 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap pasukan hanya bermain 12 perlawanan kompetitif berbanding 26 perlawanan jika kesemua pasukan diletakkan dalam satu kumpulan liga.
Dia juga berpendapat masih banyak ruang untuk pembangunan sukan futsal ini di Malaysia dengan menyuntik lebih banyak elemen profesional bagi membentuk satu ekosistem yang lebih baik dan merapatkan jurang dengan Indonesia dan Thailand.
“Pada pendapat saya, futsal di Malaysia mampu berkembang lebih baik. Kemasukan pemain import pada musim ini berjaya menaikkan taraf liga. Saya juga berpendapat, pada masa akan datang tidak perlu diadakan dua kumpulan sebaliknya hanya satu kumpulan dalam liga kerana pasukan akan bermain lebih banyak perlawanan kompetitif.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku di Liga Indonesia. Apa yang penting sekarang adalah bagaimana mahu meningkatkan mutu saingan liga di Malaysia. Saya pernah mempunyai pengalaman di Vietnam dan futsal Malaysia masih boleh diperbaiki dan kita tidak perlu membandingkan dengan liga lain tetapi perlu lebih profesional pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Flash Sukan selepas perlawanan JDT menentang KL City.
JDT berjaya membenam KL City 4-2 dalam perlawanan pada Sabtu untuk menamatkan pusingan pertama ditangga teratas Kumpulan B dengan 15 mata dan Juan Antonio gembira dengan aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya secara keseluruhan serta melihat ada peningkatan yang ditunjukkan beberapa pemain secara individu.
“Perlawanan hari ini kami bermain baik pada babak pertama dan saya gembira dengan aksi yang ditunjukkan kerana bukan mudah untuk bermain di sini. Namun babak kedua sangat berbeza dengan kami gagal menyudahkan peluang dan tidak berjaya merebut bola kedua.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan aksi pasukan serta banyak pemain yang menunjukkan peningkatan. JDT akan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan dan kami bersedia untuk menghadapi pusingan kedua sekaligus merebut tempat ke peringkat seterusnya.”