PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan keselamatan dan kebajikan atlet negara akan menjadi keutamaan utama apabila kontinjen Malaysia beraksi di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
Norza berkata pihaknya sudah bersiap sedia menghantar kontinjen yang besar dan kuat, namun pada masa sama memastikan kebajikan atlet serta pegawai tidak dikompromi, lebih-lebih lagi selepas timbul isu ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja sebelum ini.
“Keselamatan dan kebajikan atlet serta pegawai adalah keutamaan kami dan tidak akan sesekali dikompromi. Kita mahu semua yang bertanding berada dalam keadaan terbaik,” katanya ketika ditemui di Puchong, hari ini.
Beliau turut mengesahkan pengumuman rasmi jumlah kontinjen akan dibuat pada 1 September, dengan angka dijangka lebih besar berbanding edisi Kemboja tahun lalu yang menampilkan 677 atlet dan 277 pegawai. Kali ini, Malaysia akan menyertai 49 jenis sukan, berbanding hanya 34 pada 2023.
Untuk rekod, kontinjen negara ke Thailand akan diketuai bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah sebagai Ketua Kontinjen, bersama tiga timbalan iaitu Datuk Kenny Goh Chee Keong, Nazmizan Mohamad dan Jivan Mohan.
Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan, merentasi tiga wilayah utama iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkla.