SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara gagal mempertahan trofi Piala Asia apabila tumpas kepada Iran 1-7 dalam aksi final yang berlangsung di Taldykorgan, Kazakhstan.

Bagaimanapun, Malaysia sudah mengesahkan slot ke Piala Dunia 2025 yang diberikan kepada finalis kejohanan ini, selepas kedua-dua pasukan menduduki dua kelompok teratas klasifikasi pertama hingga keempat.

Iran yang mendominasi Piala Asia sejak ia diperkenalkan pada 2008 sebelum Malaysia merampas kejuaraan pada 2022, memperoleh jaringan menerusi Amirmahdi Mirzakhani, Payam Lashgari dan Hamid Noorania apabila masing-masing meledak dua gol, manakala sat jaringan lagi disumbangkan Sajjad Mamizadeh.

Gol tunggal skuad bimbingan Rodzhanizam Mat Radzi disumbangkan Muhammad Firdaus Omar hasil jaringan padang pada minit ke-30, yang juga gol keduanya sepanjang kejohanan.

“Alhamdulillah. Selesai sudah Piala Asia. Kami kalah dengan pasukan yang lebih bersedia ke kejohanan ini. Masih banyak lagi kita perlu lakukan dan perbaiki selepas ini.

“Malaysia memulakan kempen dengan setiap pemain beraksi cukup baik selain sikap percaya kepada kemampuan sendiri dan pasukan membawa kami hingga ke final.

“Semangat juang yang tinggi, disiplin yang cukup baik adalah perkara yang cukup positif dapat dilihat di dalam pasukan. Walaupun kami tidak dapat mengekalkan kejuaraan, namun melangkah ke Piala Dunia buat kali pertama sesuatu yang cukup bermakna untuk pasukan. Syabas dan tahniah buat setiap pemain atas usaha mereka,” kata Rodzhanizam.

Sementara itu dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat menyaksikan pasukan tuan rumah membelasah Thailand 7-2.