PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, menyifatkan persiapan bertemu Sabah, malam esok, tidak terjejas dengan isu di luar padang mengenai masa depan bersama Sang Penyu, musim depan.
Jurulatih berusia 44 tahun itu berkata, dia dan barisan pemain TFC kekal fokus memburu kemenangan dalam misi merebut tempat tiga teratas Liga Super dan slot automatik ke Piala AFC 2023.
Selain itu, Nafuzi turut memilih pendekatan profesional untuk tidak mahu memanjangkan isu mengaitkan dirinya sebagai ketua jurulatih baharu Kedah Darul Aman (KDA) musim depan.
“Fokus saya dan pemain ketika ini adalah melayakkan diri ke Piala AFC dengan menamatkan saingan liga di kedudukan tiga teratas serta mara ke final Piala Malaysia.
“Khabar angin adalah lumrah dalam bola sepak namun ianya tidak merencatkan TFC kerana masing-masing tahu tugas mereka dan kami lebih fokus untuk meraih keputusan positif di atas padang.
“Saya juga tidak boleh meramal masa depan. Jadi tidak dapat mengulas lanjut, mungkin pihak pengurusan ada jawapan lebih jelas,” jelas Nafuzi yang ditemui FLASH SUKAN ketika sesi latihan, pada Jumaat.
Ketika ditanya persiapan menghadapi Sabah, Nafuzi mengakui TFC bakal berdepan tugas getir dengan Sabah memiliki kelebihan dari segi pengalaman pemain dan jurulatih.
Namun, Nafuzi tetap optimis skuad Sang Penyu mampu menebus kekalahan 1-2 di Stadium Likas selain menurunkan barisan terkuat berdepan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee itu.