PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengambil maklum rasa murka yang disuarakan Sultan Selangor, DYTM Sultan Sharafuddin Idris Shah atas isu hukuman yang dikenakan Malaysian Football League (MFL) terhadap Selangor FC.

Atas sebab itu dia sudah menghubungi Istana Selangor untuk memohon menghadap Tuanku Sultan Selangor bagi menjelaskan perkara ini dan pihaknya akan menghantar surat pada Khamis.

Hamidin menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila namanya disebut di dalam surat yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah menyatakan rasa dukacita Tuanku terhadap tindakannya yang berdiam diri dalam menangani isu hangat ini.

Keputusan yang mengundang murka Sultan Selangor

“Saya sudah menghubungi pihak Istana Selangor semalam. Pagi ini saya turut menghantar surat rasmi bagi memohon menghadap DYMM Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj.

“Saya memahami dukacita DYMM Tuanku. Izinkan saya menghadap Tuanku terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media ketika majlis pelancaran Liga Wanita Nasional 2024 di Kuala Lumpur.

Hamidin secara peribadi menerima segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya minggu ini dan menganggap semua ini sebagai cabaran dan membuatkan beliau lebih kuat untuk membawa nama baik Malaysia dalam sukan bola sepak.

Datuk Hamidin ketika majlis pelancaran Liga Wanita Nasional 2024

“Mungkin ada hikmah dalam semua yang berlaku dan saya menerimanya dan menganggapnya sebagai cabaran.

“Saya akan hadapinya dan lakukannya dengan betul demi membawa nama baik Malaysia selagi khidmat saya diperlukan,” jelasnya.