MUTU pengadilan berat sebelah ragut kemenangan Selangor?

Benar atau tidak namun itulah pandangan peribadi penyerang Selangor FC yang berasa usaha keras pasukan pelawat di Stadium Likas, Kota Kinabalu, berakhir dengan nota tidak menyebelahi mereka.

Meskipun enggan menyatakan dengan jelas punca yang dirasakannya menyebabkan Gergasi Merah tewas 2-1 kepada Sabah FC, apa yang disuarakan Faisal jelas sekali lagi mempertikai mutu pengadilan pada perlawanan itu yang disifatkannya menyebelahi Sang Badak.

“Sudah tentu kita berkerja keras, saya terima kekalahan ini tetapi bukan dengan cara kita tak bagus… Selangor sudah cuba yang terbaik, saya kecewa dengan cara kita kalah.

“Kalau saya cakap direct, saya tidak ada duit untuk bayar denda dan sebagainya, tapi saya merayu dan berharap benda ini tidak berulang lagilah. Saya merayu sangat-sangat kami inginkan perlawanan yang adil sebenarnya, kalau perlawanan yang adil, kami kalah 5-0… 10-0 tak mengapa kami terima,” kata Faisal selepas tamat perlawanan.

Semua boleh lihat sama ada pasukan Selangor tak bagus untuk menang atau sebaliknya, semua orang boleh menilailah.-Faisal Halim. / Pix Azri Haziq

Menurutnya, banyak pihak mahu menjatuhkan pasukan Selangor dan tidak senang hati dengan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu.

Dakwanya, mutu perlawanan yang didakwa berat sebelah itu ketara ketika pasukan tuan rumah memperoleh jaringan kedua: “Sudah tentu gol kedua itu fault… semua orang boleh tengok, boleh nilai dan kita ada siaran langsung hari ini.

“Semua boleh lihat sama ada pasukan Selangor tak bagus untuk menang atau sebaliknya, semua orang boleh menilailah.”

Sementara itu, meskipun kecewa terpaksa menerima kekalahan selepas empat kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri, ketua pasukan Brendan Gan mahu rakan sepasukan menerimanya kerana dalam setiap perlawanan, pasti akan ada situasi yang memihak dan tidak menyebelahi sesebuah pasukan.

“Kesilapan boleh berlaku dan itulah bola sepak, kami akan balik dan melihat semula perlawanan ini, menilai di mana kami boleh perbetulkan kerana bagi saya, kami memperoleh beberapa peluang dan mampu melakukan jaringan sekali gus mengubah situasi perlawanan.

Nothing to take away from Sabah today… mereka berkerja keras dan kami agak kecewa di benteng pertahanan,” kata Brendan.

Perbezaan antara Selangor FC dan Sabah FC malam tadi adalah set pieces. Sabah menjaringkan gol melalui sepakan percuma dan penalti. -Brendan Gan/Pix Azri Haziq

Menurutnya, perbezaan antara Selangor dan Sabah pada perlawanan itu adalah set peices.

“Mereka jaringkan gol melalui set pieces dan penalti… itu yang membezakan dua pasukan malam ini. Kami juga memiliki banyak peluang untuk menyudahkan perlawanan dengan nota berbeza.. tapi itu sekali lagi sekadar satu alasan.

“Kami akan balik, menonton semula perlawanan dan perbetul kesilapan yang berlaku,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi, ia buakan sekadar menamatkan rentak empat kemenangan berturut-turut Selangor dalam saingan Liga Super, malah merosakkan rekod baik lima pertemuan terakhir mereka dengan Sabah yang sejak April 2021, yang menyaksikan Selangor menang tiga perlawanan dan dua kali seri.