SKUAD hoki remaja negara berada pada landasan terbaik menjelang Piala Dunia Remaja di Tamil Nadu, India, Disember ini selepas melalui rangka persiapan rapi termasuk siri perlawanan antarabangsa dan jelajah ke beberapa negara.
Ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini menjelaskan pasukan telah menjalani aksi persahabatan sejak Mei lalu bermula dengan siri jelajah ke China, sebelum diteruskan dengan perlawanan di India serta Australia menentang kelab dan pasukan negeri di sana.
Terbaharu, skuad remaja sedang mengharungi enam perlawanan persahabatan di China sebagai sebahagian daripada ujian penting sebelum berdepan Bangladesh dalam empat aksi di Kuala Lumpur minggu hadapan.

Ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini menyatakan Skuad hoki remaja negara berada pada landasan terbaik menjelang Piala Dunia Remaja di Tamil Nadu, India, Disember ini.
“Selepas itu, kami akan beraksi dalam Piala Sultan Johor 2025 yang berlangsung dari 6 hingga 18 Oktober di Johor Bahru. Kejohanan itu menjadi medan terbaik untuk menilai tahap komitmen pemain selepas lebih empat bulan menjalani latihan intensif,” katanya.
Nor Saiful berkata, selepas Piala Sultan Johor, skuad negara akan berehat sebulan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada latihan pusat di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke India bagi mengharungi cabaran utama di pentas dunia.

Skuad hoki negara barusahaja tamat menjalani Siri persahabatan di Liaoning, China, dengan skuad negara mengharungi lima perlawanan persahabatan menentang kelab Liaoning dari Dalian, Liaoning Province Hockey Team yang telah membuat penampilan di TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025. FOTO: MHC
Beliau mengakui setakat ini segala persiapan berjalan lancar dan perlawanan persahabatan yang diatur memberi pendedahan berguna kepada anak buahnya untuk membina kekuatan fizikal, taktikal dan mental.
“Kami mahu pemain menunjukkan apa yang mereka pelajari sepanjang persiapan ini, kerana ia penting untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap dan bersedia menghadapi saingan di Piala Dunia,” tegasnya.