KHABAR angin ditimbulkan peminat kononnya Mesut Ozil akan dipancing segera dijawab pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim.
Jelas TMJ, beliau tidak mahu JDT menjadi satu kelab retirement program bagi mana-mana pemain dalam dunia yang berhajat berbuat demikian.
“Setakat dapat gaji besar dan lepas tu pencen daripada arena bola sepak. Siapa-siapa yang datang kemari mesti komitmen sepenuhnya. Sanggup berlari beberapa meter untuk membantu defends.
“Saya tak nak habiskan duit bayar gaji begitu mahal untuk pemain tak nak lari defends tiga meter. Di Johor tiada siapa star. Di Johor adalah pemain yang bagi komitmen yang sanggup mati antara satu sama lain. Komited bertahan, menyerang sebagai satu unit.
“Setakat hadir untuk pencen bukan di JDT. Saya tak tahu cerita dari mana Ozil datang.
“Ozil tak pernah ada dalam perancangan JDT. Tapi jika Papu Gomez, dia boleh bagi saya komitmen, harga munasabah, Insha Allah,” kata TMJ dalam sesi soal jawab bersama peminat yang diadakan di bilik sidang media Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.
TMJ juga mendedahkan antara sebab jurulatih Benjamin Mora dilepaskan kerana tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya termasuk respon yang diterima daripada pemain juga sudah berubah.
Beliau juga mengimbas kembali bernasib baik mendapatkan bekas pemain import, Luciano Figueroa antara pemain bintang yang terbaik ditandatangani dengan harga tersebut.
“Saya takkan boleh cari lagi satu Luciano Figueroa, saya gerenti kerana Malaysia bukan satu destinasi nama besar datang. Kalau mereka nak gaji besar, lebih hebat mereka pergi Jepun, China, Arab Saudi, UAE.
“Dan jika mereka hendak datang ke sini, mereka demand double daripada apa mereka dapat tawaran,” ujarnya lagi.