PERTEMUAN Liga Super antara Johor Darul Ta’zim JDT dan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu pastinya mengimbau detik jaringan Fernando Forestieri pada saat terakhir 10 minit masa tambahan ketika kedua-dua pasukan bertemu di Paroi.
Dengan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi penuh sesak dengan sekalian yang setia kedua-dua pasukan beraksi baik hinggalah jaringan cantik Forestieri melenyapkan impian Negeri Sembilan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata.
Kini mereka bertemu dalam keadaan yang cukup mengujakan. JDT semakin hampir dengan kejuaraan kesembilan berturut-turut Liga Super jika berjaya menewaskan Negeri Sembilan dan Skuad Jang pula tiba dengan semangat mahu melewatkan parti sang Harimau Selatan.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio pastinya akan membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain-pemain utama yang pulang dari tugasan skuad kebangsaan yang berada dalam keadaan yang penuh semangat.
Dua perlawanan tanpa kemenangan ketika beraksi di tempat lawan bukanlah rekod yang diinginkan oleh JDT dan kembalinya mereka ke Iskandar Puteri untuk menebus kehampaan itu sekaligus menggembirakan ribuan penyokong yang dijangka hadir ke stadium.
Benteng pertahanan Negeri Sembilan yang diketuai Herold Goulon dan Khuzaimi Piee harus menyekat Bergson Da Silva kerana penyerang Brazil itu sangat tajam dan berbahaya terutama di gelanggang sendiri dengan gaya permainan samba yang menarik perhatian penyokong.
“Selamat datang Syihan ke Johor!!!”
Tidak dilupakan rakan rakan sepasukan Syihan dari Negeri Sembilan. Kami disini sentiasa merindukan aksi aksi syihan ”take a nap” kat atas padang!!! Sabtu ni try lah Syihan wat lagi kat SSI.. Try lah.. try.. cer try..!!#MSL2022#BOSFAMILIA pic.twitter.com/VLodmKgLnS
— BosJohorOfficial (@BosJohor2010) September 29, 2022
Hero Malaya, Syihan Hazmi pastinya tidak akan duduk diam dan sekali lagi inilah peluang buat Syihan untuk membuktikan dia adalah penjaga gol nombor satu negara ketika ini dan aksi hebatnya pasti dituntut oleh jurulatih Negeri Sembilan, K.Devan.
Negeri Sembilan juga mahukan keputusan positif untuk memburu tiket ke Asia setelah sekian lama mereka di tangga ketiga liga namun kini harus lebih berhati-hati pada baki empat perlawanan terakhir bagi mengelak tercicir dari slot Asia.
Stadium Sultan Ibrahim bukanlah tempat yang mudah buat Negeri Sembilan namun mereka pasti mempunyai resipi tersendiri bagi menyekat JDT dari bergelar juara liga lebih awal.