PENGUMUMAN bahawa Petronas kini menjadi penaja utama Bangladesh Football League menimbulkan persoalan besar dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan, mengapa syarikat minyak nasional memilih untuk melabur di luar negara sedangkan liga sendiri masih bergelut mencari penaja kukuh?

Melalui satu hantaran rasmi di Facebook Bangladesh Football League, Petronas diperkenalkan sebagai penaja utama musim 2025–2026. “Penantian kini berakhir! PETRONAS bawakan saingan Bangladesh Football League,” tulis penganjur, seolah-olah memperkenalkan satu kerjasama bernilai tinggi. Liga itu dijadual membuka tirai pada 24 November dengan penyertaan lapan pasukan.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah MFL, Dato’ Christopher Raj, turut melontarkan persoalan lantang mengenai keutamaan syarikat minyak nasional itu. “Kenapa mereka tak sokong bola sepak negara? Kenapa Petronas tak bagi duit dekat Liga M? Kenapa Petronas bagi duit dekat Bangladesh?” katanya.

Beliau menegaskan jurang ketara antara Liga Malaysia dan Liga Bangladesh jauh berbeza, dengan pasukan dari negara mempunyai wakil di kejohanan tertinggi Asia (ACLE) manakala bangladesh tidak dan jauh sekali untuk bermain di kejohanan tersebut.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah MFL, Dato’ Christopher Raj.

“Liga Malaysia lebih tinggi nilainya daripada Liga Bangladesh. Kita mempunyai pasukan Johor DT, Selangor dan sebagainya bermain dalam kejohanan Liga Juara-juara Asia (ACL). Bangladesh tak ada pasukan yang layak ke ACL.”

Menurutnya, tanggungjawab Petronas adalah jelas menyokong ekosistem bola sepak dalam negara, bukan mengalirkan dana untuk mengangkat liga asing.
“Tanggungjawab Petronas sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negara ialah menyokong pasukan bola sepak negara. Bukan bagi-bagi duit dekat negara lain untuk menyokong negara mereka.”

“Apakah sebuah GLC daripada Bangladesh akan datang menyokong pasukan bola sepak negara? Tidak. Tidak akan berlaku,” tegasnya.

Antara aksi perlawanan antara JDT dan Gwangju dalam kejohanan tertinggi Asia pada musim lalu, menunjukkan beza kualiti pasukan liga Malaysia dan liga Bangladesh.

Pengumuman tersebut disambut dengan tanda tanya bahawa liga tempatan sedang bergelut dengan kestabilan kewangan, kelangsungan pasukan, dan ketidakcukupan dana untuk memperkukuh pembangunan bola sepak negara namun Petronas memilih untuk menaja liga luar, apatah lagi liga yang tidak berada setaraf dari segi reputasi mahupun pencapaian.

mengapa mudah untuk Petronas melabur di luar, tetapi sukar untuk tampil menjadi penyelamat bola sepak negara sendiri? Apakah ini benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada sukan tempatan, atau sekadar membiarkan Liga Malaysia terus bergelut tanpa sokongan dari syarikat gergasi nasional?