JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi luar biasa apabila membelasah Brunei DPMM 10-0 dalam perlawanan minggu ke-8 Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim, malam Sabtu.

JDT tidak menunggu lama apabila penyerang Brazil, Bergson da Silva, membuka tirai jaringan seawal minit ke-9 untuk menceriakan ribuan penyokong Harimau Selatan. DPMM cuba bangkit melancarkan serangan balas, namun ketangkasan Syihan Hazmi menafikan segala percubaan berbahaya pelawat.

Bergson terus menjadi mimpi buruk DPMM apabila menambah dua lagi jaringan — satu menerusi penalti pada minit ke-35 dan satu lagi dua minit kemudian — bagi melengkapkan hatrik peribadi sebelum Oscar Arribas menambah satu gol di masa kecederaan untuk meletakkan JDT selesa mendahului 4-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunjukkan belas kasihan. Manuel Hidalgo yang dimasukkan sebagai pemain gantian menambah gol kelima pada minit ke-57 sebelum Awangku Indera menjaringkan gol sendiri untuk menjadikan kedudukan 6-0.

Arif Aiman turut mencetak nama sebagai penjaring dengan gol ketujuh pada minit ke-68, diikuti Bergson yang meledak gol keempat peribadi pada minit ke-73. Jairo menambah derita DPMM dengan jaringan kesembilan pada minit ke-82, sebelum Romel Morales menutup pesta jaringan dengan gol ke-10 JDT menjelang tamat permainan.

Kemenangan besar itu menyaksikan Harimau Selatan terus mengekalkan rekod sempurna, mengutip 24 mata maksimum daripada lapan perlawanan, sekali gus kekal kukuh di puncak carta Liga Super.

Sumber Gambar: FB JDT