JOHOR Darul Ta’zim II (JDT II) gagal menjarakkan diri di kedudukan teratas Liga Premier selepas tewas 1-2 kepada satu lagi kelab pembangunan, Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

TFC II bangkit selepas ketinggalan pada babak pertama dengan gol daripada Zuasyraf Zulkifli dan Wan Fazil Wan Ghazali memadam kelebihan awal yang diperolehi JDT II hasil jaringan Bienvenido Maranon.

Dengan keputusan ini, JDT II kekal di tangga teratas dengan 18 mata tetapi lebih satu perlawanan dari Kelantan manakala TFC II naik ke tangga keempat dengan 13 mata.

Dalam satu lagi aksi di Stadium UiTM Shah Alam, Kelantan United diikat Kuching City 0-0 meskipun berbalas serangan tetapi dihampakan penyudah yang tumpul untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Kelantan United kekal di tangga ketiga dengan 14 mata dari lapan perlawanan manakala Kuching City pula turun satu anak tangga ke tangga kelima dengan 11 mata selepas bermain enam perlawanan.

Tiga lagi perlawanan akan berlangsung hari ini dan esok untuk melengkapkan minggu perlawanan kelapan Liga Premier. Perak akan menentang UiTM FC manakala PDRM berhadapan Skuad Projek FAM-MSN dan Selangor 2 akan menerima kunjungan Kelantan FC pada Ahad.