TONGGAK utama Kuala Lumpur (KL) City FC, Zhafri Yahya yang digantung untuk perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC menyatakan bahawa pasukannya akan melakukan misi kebangkitan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.

Pemain berusia 29 tahun yang baru menghasilkan satu jaringan dalam Piala Malaysia musim ini turut menjelaskan bahawa agregat semasa 2-1 yang berpihak buat Terengganu FC setakat ini tidak memberi tekanan yang tinggi buat pasukannya.

Zhafri yakin rakan sepasukannya mampu mengejar semula pihak lawan sekali gus memberikan peluang yang cerah buat KL City FC mara ke pentas akhir Piala Malaysia 2023.

“Mungkin sebelum ini kita ada buat kesilapan sedikit tetapi saya pasti ianya sudah diperbetulkan semula jadi kita harap separuh akhir kedua ini mampu memberikan keputusan terbaik untuk KL.

“Saya anggap agregat 2-1 ini tidak memberi sebarang perbezaan kerana jurang tidak jauh, maka kita masih boleh untuk menghukum mereka di stadium pihak lawan nanti.

“Harapan saya memang untuk melihat skuad pergi ke final jadi kalau ada rezeki di sana, saya nak bantu pasukan untuk menjaringkan gol,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Tambah Zhafri, dia turut akui kekuatan Sang Penyu iaitu dari segi pertahanan ke bahagian serangan yang mungkin berbahaya buat skuad The City Boys jika mereka lalai dalam aksi perlawanan nanti.

Pertembungan kedua separuh akhir Piala Malaysia 2023 antara Terengganu FC dan KL City FC dijadualkan berlangsung pada 3 November 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak tepat jam 9 malam.