PEREBUTAN kejuaraan Liga Premier 2022 semakin rancak dan mendebarkan apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) II kembali memintas Kelantan FC sebagai pendahulu semasa menerusi perbezaan jaringan.

Ia susulan kemenangan ketiga berturut-turut yang dicapai ketika membenam cabaran Skuad Projek FAM-MSN 2-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Beraksi di padang yang basah akibat hujan tidak menjejas rentak permainan skuad bimbingan Mariano Echeverria yang kerap memberi tekanan terhadap benteng tuan rumah namun beberapa peluang terhidang gagal disudahkan.

Namun, JDT II terlebih dahulu menggegar jaring lawan menerusi gol Levy Clement Madinda di awal babak pertama dan tiada tambahan jaringan terhasil sehingga tamat 45 minit awal.

Bersambung babak berikutnya, asakan demi asakan JDT II akhirnya membuahkan gol kedua yang disumbat Junior Eldstal m-53 sekaligus memastikan tiga mata berharga berjaya di bawa pulang ke Pasir Gudang.

Malang bagi pelawat selepas Muhammad Nafizuddin Fauzi dibuang padang akibat mengutip kad kuning kedua kerana didakwa melengahkan permainan oleh pengadil.

JDT II kini mengutip 36 mata selepas beraksi 16 perlawanan dan akan menutup dua baki kempen liga dengan bertemu Terengganu FC II pada 4 September dan Selangor FC II, 17 September depan.