UNDIAN peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA telah diadakan di Istanbul, Turkiye pada pagi Jumaat yang menyaksikan beberapa pertembungan hebat dijangka berlangsung.

Lapan kumpulan yang merangkumi 32 pasukan terbaik Eropah akan berentap untuk merebut trofi kejohanan berprestij itu pada 10 Jun 2023 di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul.

Antara yang menarik perhatian adalah kepulangan semula bekas-bekas pemain ke kelab asal lebih awal daripada yang dijangkakan apabila kedua-dua pasukan mereka diundi bersama-sama dalam satu kumpulan.

Robert Lewandowski yang kini bermain di Barcelona akan kembali ke Allianz Arena, Munich setelah kedua-dua pasukan diundi dalam Kumpulan C yang dianggap kumpulan maut yang turut melibatkan Inter Milan dan Viktoria Plzen.

Begitu juga dengan Erling Haaland, pemain baharu Manchester City yang akan kembali bertemu Borussia Dortmund apabila mereka diundi bersama dalam Kumpulan G bersama-sama Sevilla dan FC Copenhagen.

Turut sama kembali bertemu bekas kelab adalah Angel Di Maria selepas Juventus diundi bersama-sama Paris Saint Germain, Benfica dan pendatang baharu, Maccabi Haifa dalam Kumpulan H.

Laluan mudah dilihat memihak kepada juara bertahan, Real Madrid apabila diundi bersama Shaktar Donetsk, RB Leipzig dan Celtic dalam Kumpulan F dengan perlawanan pertama dijadualkan pada 6 dan 7 September 2022.

Tiga kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool, Tottenham Hotspur dan Chelsea masing-masing mengisi Kumpulan A, D dan E dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp gembira dengan keputusan undian ini yang menganggapnya sebagai satu cabaran yang sebenar.

Dalam majlis yang sama, penyerang Real Madrid Karim Benzema telah dipilih sebagai Pemain Lelaki Terbaik UEFA 2021/2022 manakala pengurus, Carlo Ancellotti pula dipilih sebagai Jurulatih Lelaki Terbaik UEFA 2021/2022.