JOHOR Darul Ta’zim mengorak langkah terbaharu dengan pelancaran kedai cenderahati rasmi baharu, JDT Direct Megastore yang disempurnakan Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail dalam majlis yang gilang gemilang pada Jumaat.
JDT Direct Megastore yang terletak di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu bakal menjadi daya tarikan baharu pengunjung ke stadium itu untuk mendapatkan barangan cenderahati rasmi kelab.
Bukan sahaja perasmian kedai cenderahati rasmi, JDT juga turut meraikan para penyokong dengan JDT Fans Fest 2024 di mana pelbagai aktiviti telah disediakan untuk para pengunjung.
DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor telah merasmikan pembukaan kedai cenderahati rasmi, JDT Direct Megastore di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 Mac 2024.#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/iyFcnaXxNF
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 9, 2024
Penyokong Harimau Selatan juga diberikan peluang bertemu para pemain dalam sesi Meet and Greet selain persembahan dari Boys of Straits yang menarik ribuan pengunjung ke Stadium Sultan Ibrahim.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut sama mencemar duli mengunjungi JDT Fans Fest untuk sama-sama meraikan para penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan sejak penubuhan kelab sedekad yang lalu.

Suasana meriah di JDT Fans Fest 2024
Pembukaan Megastore ini juga melengkapkan status JDT sebagai sebuah kelab bola sepak yang lengkap dengan fasiliti kelas dunia selain ruang untuk meningkatkan pendapatan kelab menerusi jualan cenderahati dan lawatan stadium.