Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak mahu tergesa-gesa membuat sebarang keputusan berhubung isu membabitkan tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang terpalit dengan kes pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado sebelum ini dikenakan hukuman penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Daripada jumlah tersebut, empat pemain beraksi dalam saingan Liga Malaysia termasuk tiga tonggak Johor Darul Ta’zim iaitu Figueiredo, Irazabal dan Hevel serta seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya akan meneliti langkah seterusnya selepas keputusan rasmi dikeluarkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) melalui Jawatankuasa Tatatertib dan Etika badan tersebut.
“Kami di peringkat Liga Malaysia dan juga MFL akan membuat kenyataan mengenai kedudukan kelab yang mempunyai pemain terbabit selepas AFC membuat kenyataan,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran MFL.
Terdahulu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan yang difailkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain berkenaan.
Keputusan itu menyaksikan hukuman yang dikenakan FIFA kekal termasuk denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM serta penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain tersebut.
Bagaimanapun, hukuman berkenaan dipinda apabila pemain hanya digantung daripada beraksi dalam perlawanan rasmi dan bukan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Susulan keputusan tersebut, MFL sebelum ini memaklumkan bahawa empat pemain Liga Malaysia yang terlibat iaitu Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero tidak dibenarkan beraksi dalam saingan liga tempatan sepanjang tempoh penggantungan mereka.
Sumber Gambar: BERNAMA