KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya memperolehi kemenangan kedua dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) apabila menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Isnin malam.
Persembahan penuh disiplin sebagai satu unit berjaya dipamerkan skuad kendalian Benjamin Mora sekaligus memberikan tiga mata berharga buat JDT sekaligus mendahului takhta Kumpulan I.
Dua jaringan menerusi bintang antarabangsa Fernando Forestieri pada minit ketiga dan Bergson Da Silva sepuluh minit sebelum tamat juga menyaksikan Ulsan Hyundai kini semakin tertekan dengan hanya satu mata dari dua perlawanan.
JDT tidak menunggu lama untuk mengejutkan juara dua kali ACL ini apabila Fernando Forestieri tenang merembat dari luar petak penalti untuk menewaskan Jo Hyeon-woo yang terpaku di gawangnya.
Selepas gol itu, Ulsan lebih banyak menguasai permainan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Leonardo pada minit ke-35 dan 36 tetapi dinafikan kehebatan Haziq Nadzli dan dinafikan tiang gol untuk kedudukan separuh masa pertama kekal 1-0.
Hong Myung Bo melakukan pertukaran dengan memasukkan Um Won-Sang dan akhirnya beliau berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-52 hasil tolakan mudah ke gawang JDT.
kehilangan Haziq Nadzli pada minit ke-79 apabila beliau dikasari dan digantikan oleh Izham Tarmizi yang juga beraksi cemerlang menafikan beberapa peluang Ulsan Hyundai.

Bergson menyumbat gol kemengan buat JDT. Foto: JDT
Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi bergema dengan sorakan penyokong pada minit ke-81 apabila Bergson Da Silva berjaya menjaringkan gol hasil umpanan Safawi Rasid yang mengambil kesempatan kesilapan pemain pertahanan lawan.
Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan kini JDT memimpin kumpulan dengan enam mata dan bakal bertemu jaguh Jepun, Kawasaki Frontale pada Khamis.