Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Liga Malaysia 2026/27 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.

Kemenangan tersebut menghadiahkan trofi pertama musim ini buat skuad Harimau Selatan, selain melengkapkan misi utama mereka untuk mencipta sejarah baharu dalam bola sepak dunia menerusi rekod 109 perlawanan tanpa kekalahan.

JDT menguasai sebahagian besar permainan sejak awal dan ancaman mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-11. Marcos Guilherme melakukan kombinasi bersama Bergson sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.

Ketinggalan satu gol menyaksikan Kuching City cuba meningkatkan tekanan, namun barisan serangan yang diterajui Ronald Ngah Wanja, Gabriel Nistelrooy dan Aliff Hassan sukar mencari ruang di hadapan gawang JDT. Pertahanan tuan rumah yang diketuai Kevin Medina dan Antonio Glauder pula kekal ampuh untuk memastikan kelebihan 1-0 dibawa ke bilik persalinan.

Kuching City membuat tiga pertukaran sebaik babak kedua bermula apabila Ramadhan Saifullah Usman, Nur Shamie Iszuan Amin dan Ahmed Israiwah dimasukkan bagi menambah kreativiti serangan. Ramadhan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-51 menerusi tandukan, namun percubaannya berjaya ditepis Syihan Hazmi Mohamed.

Ketika The Cats semakin rancak memburu gol penyamaan, JDT mengambil kesempatan menerusi serangan balas untuk menggandakan kelebihan pada minit ke-55. Oscar Arribas memanfaatkan ruang di hadapan kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang yang sekali lagi menewaskan Haziq.

Kuching City terus berusaha mencari jalan untuk kembali dalam permainan, namun JDT kekal tenang mengawal tempo sehingga Shahab Zahedi memastikan kemenangan lebih selesa menerusi gol pada minit ke-86. Percubaan pertamanya dinafikan Haziq, tetapi penyerang Iran itu pantas menyambar bola muntah untuk melengkapkan kemenangan 3-0.

Kejayaan itu bukan sahaja menyaksikan JDT menjulang Piala Sumbangsih, malah mengesahkan Harimau Selatan sebagai pemegang baharu rekod dunia bagi siri perlawanan tanpa kalah paling panjang dengan 109 perlawanan, mengatasi catatan ASEC Mimosas sebanyak 108 aksi.

JDT selepas ini akan menerima kunjungan Kelantan Red Warrior FC pada 26 Ogos, manakala Kuching City bertandang ke Cheras untuk menentang Kuala Lumpur City FC pada hari yang sama.