PERLAWANAN Unifi Liga Super 2026/27 antara Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada jam 5 petang ini tidak dapat dilangsungkan susulan masalah kesihatan yang melanda kem KL City.

Malaysian Football League (MFL) memaklumkan keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima permohonan rasmi daripada KL City berikutan 15 pemain dan dua pegawai pasukan mengalami simptom penyakit seperti demam, batuk, selesema dan cirit-birit, dengan hampir separuh daripada pemain kelab berkenaan disahkan mengalami influenza.

Menurut MFL, kesemua pemain dan pegawai yang terjejas akan dirujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Perkembangan itu turut dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, yang sebelum ini memaklumkan mengenai masalah kekurangan pemain KL City menjelang aksi berdepan Negeri Sembilan FC.

MFL menjelaskan keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan dibuat selepas mengambil kira keadaan kesihatan yang dihadapi skuad KL City serta aspek kebajikan pemain dan pegawai pasukan.

Situasi itu juga mengambil kira penyakit influenza yang mudah merebak selain memerlukan tempoh pemulihan sebelum individu yang terjejas boleh kembali menjalani aktiviti seperti biasa.

Dalam pada itu, MFL memaklumkan perkara berkenaan akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi menentukan status selanjutnya perlawanan Negeri Sembilan FC menentang KL City FC dalam masa terdekat.

Perlawanan tersebut sepatutnya menjadi aksi pertama Negeri Sembilan di laman sendiri musim ini, manakala KL City pula dijadualkan memulakan kempen Liga Super dengan kunjungan ke Paroi.