PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan musim Liga Super 2025–2026 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Selangor FC 3–0 untuk menjulang trofi Piala Sumbangsih buat kali ke-10 dalam sejarah kelab itu.
Kemenangan ini turut mengesahkan dominasi JDT dalam bola sepak tempatan, sekaligus menyuntik semangat tinggi untuk menghadapi musim baharu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan beberapa muka baharu diturunkan oleh kedua-dua pasukan.
JDT menampilkan pemain import seperti Jon Irazabal, Jairo Da Silva dan Nacho Mendez, manakala Selangor mempertaruhkan gandingan penyerang Chrigor Moraes dan Willian Lira untuk mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.
JDT tidak menunggu lama untuk membuat impak apabila penyerang baharu mereka, Jairo Da Silva, berjaya menjaringkan gol pendahuluan seawal minit pertama permainan. Tandukan kemasnya hasil hantaran silang Jonathan Silva mengejutkan barisan pertahanan Selangor, sekaligus memberi kelebihan awal kepada skuad Harimau Selatan.

Selangor cuba bangkit selepas ketinggalan dan melancarkan beberapa serangan balas yang berbahaya. Namun, ketangkasan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi, berjaya mengekang asakan demi asakan, termasuk satu percubaan berbahaya daripada Chrigor pada pertengahan babak pertama. Kedudukan kekal 1–0 memihak JDT sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, JDT terus menguasai permainan dengan serangan bertali arus. Usaha mereka membuahkan hasil apabila pertahanan import, Eddy Israfilov, menanduk masuk gol kedua pasukannya pada minit ke-64 selepas sepakan penjuru yang gagal dihalang oleh Kalamullah Al-Hafiz.
Pemain sayap sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi, menutup malam gemilang pasukannya dengan gol ketiga pada minit ke-73 selepas satu gerakan menarik di kawasan kotak penalti.
Gol tersebut bukan sahaja melengkapkan kemenangan bergaya 3–0, malah mengesahkan kejuaraan Piala Sumbangsih ke-10 buat JDT—satu pencapaian yang menyamai rekod terbanyak dalam sejarah kejohanan itu.