LUCAS Santiago Wehle mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi peluncur ombak pertama negara mara ke peringkat suku akhir dalam sejarah Kejohanan Luncur Ombak Asia (ASC) — bukan hanya dalam satu, tetapi dua kategori serentak. Lebih manis, kejayaan ini turut mengesahkan kelayakan Malaysia buat pertama kali ke acara luncur ombak Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.
Pada hari kelima saingan di 4th ASF Asian Surfing Championships yang berlangsung di India, hanya dua atlet negara masih bertahan — Lucas dan Mohd Nazrin Nasruddin atau Yen. Namun, cuaca dan keadaan laut yang berubah mendadak menyaksikan ombak semakin besar serta memerlukan pemilihan gelombang yang tepat dan masa yang sempurna.

Lucas membuka tirai dengan aksi di Pusingan 3 kategori Open Men’s, berdepan lawan berpengalaman termasuk Neil Sanchez dari Filipina, Jun Seohyun (Korea Selatan) dan Younus Hossen (Bangladesh). Bermula garang dengan catatan 4.00 mata, Lucas kekal konsisten sebelum berjaya memintas Jun pada saat akhir menerusi gerakan bertenaga yang memperoleh 5.83 mata, sekali gus menempah tiket ke suku akhir.
Yen pula beraksi dalam Heat 7 kategori sama namun terpaksa akur menamatkan saingan di tempat keempat di belakang wakil Korea Selatan, India dan Jepun. Walaupun perjalanan beliau berakhir di pusingan ini, Yen tetap berbangga kerana berjaya mara melalui pusingan penyingkiran sebelumnya.

Lucas kembali ke laut dalam kategori Junior Bawah 18 Tahun dan sekali lagi mempamerkan disiplin taktikal tinggi. Walaupun berjaya mengawal rentak perlumbaan sehingga saat akhir, beliau terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas wakil Maldives, Yasin Nashid, memintas di penghujung saingan. Tempat kedua itu sudah cukup untuk memastikan satu lagi tiket suku akhir buat Lucas.
Dengan dua slot suku akhir dalam genggaman, Lucas kini memahat nama sebagai ikon baharu sukan luncur ombak negara. Lebih penting, pencapaian ini telah melebihi sasaran prestasi yang ditetapkan Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM) sebelum kejohanan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam sejarah sukan tersebut di Malaysia.