JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melakukan kejutan apabila memanggil semula penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad daripada pinjamannya di Kedah Darul Aman (KDA).
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim akan memanggil semula Syafiq Ahmad daripada pinjamannya di Kedah Darul Aman FC. Beliau akan menyertai semula skuad JDT selepas tamat cuti antarabangsa”, tulis hantaran dari laman sosial rasmi kelab selatan tanah air itu.
Tindakan JDT ini pastinya akan memberikan impak kepada pasukan KDA yang bergelut dalam saingan liga dengan mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan.
Adakah tindakan ini dilakukan ekoran daripada tindakan Presiden KFA, Datuk Seri Sanusi Mohd Noor yang dilihat mengkritik JDT dan mempertikaikan keputusan pengadil memberikan tambahan masa 10 minit pada aksi menentang Negeri Sembilan.
KDA juga dilaporkan sedang mengintai lima pemain baharu untuk memperkasakan pasukan bagi menghadapi Piala AFC dan juga memperbaiki kedudukan di dalam Liga Super dan berita ini pastinya akan mengganggu perancangan Aidil Sharin.
Sebagai rekod, Syafiq Ahmad menyertai JDT dari Kedah pada 2018 dan membuat 22 penampilan dengan lima gol termasuk satu ketika final Piala Malaysia dan kembali menyarung jersi skuad Kenari tahun ini sebagai pemain pinjaman.