SETELAH diumum sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang baharu, Giorgio Pompili Rossi tampil memberi pandangan mengenai sebuah pasukan gergasi Liga Super.

Tidak lain tidak bukan, skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang baru menjulang trofi kemenangan hatrik Piala FA dianggap sebagai satu pasukan yang perlu dijadikan contoh dan rujukan buat kelab-kelab lain.

Hal ini kerana, Giorgio melihat kepakaran mereka bukan semata daripada aspek permainan bola sepak, namun pengurusan pasukan yang baik dan mempunyai fasiliti luar biasa.

Sesi temubual antara pihak media bersama CEO baharu MFL.

“Dari sudut domestik, JDT bukan sahaja contoh dalam aspek bola sepak, tetapi juga sebagai pasukan yang diuruskan dengan baik. Mereka membina fasiliti yang luar biasa dan saya benar-benar berharap agar kelab-kelab lain juga akan cuba untuk bersaing dengan mereka.

“Saya ingin mereka menjadi pencabar kepada JDT, kerana jika ini berlaku, tahap kualiti liga akan meningkat. Jadi, daripada mencipta konflik antara pasukan, saya lebih suka melihat dari sudut lain, iaitu mengambil mereka sebagai rujukan, bukan kerana sesuatu yang luar biasa, tetapi kerana pada akhirnya, ia adalah pasukan juara pada masa ini,” ujar Giorgio ketika dalam sesi sidang media pada Jumaat.

Tidak hanya itu, Giorgio Rossi turut menyatakan harapannya agar JDT dapat terbang dan melangkah lebih jauh dalam cabaran Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2024/25 nanti.

JDT ketika menjadi juara Piala FA 2024.

Menurutnya, itu merupakan satu peluang terbaik JDT dalam membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa sekali gus menyumbang sesuatu perkara positif kepada bola sepak negara.

“Tetapi ini bukan hanya tentang JDT, semua kelab yang bermain dalam perlawanan antarabangsa diharap terus berjaya dan dapat pergi sejauh yang mungkin,” tambah beliau.

Untuk saingan ACLE, Harimau Selatan diundi bertemu Ulsan HD, dan tiga lagi kelab hebat yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim seperti Buriram United FC (Liga Thailand), Pohang Steelers (Liga Korea Selatan) dan Shanghai Shenhua (Liga China).