KETUA jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, menyifatkan cuaca hujan lebat sebagai cabaran terbesar buat pasukannya ketika mencatat keputusan seri dalam aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Namun, beliau tetap optimis untuk memperbaiki prestasi pasukan bagi perlawanan-perlawanan seterusnya.
“Hujan terlalu lebat malam ini sehingga sukar untuk kami bermain bola sepak seperti biasa. Namun, ini bukan alasan. Kami seharusnya mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca seperti ini, terutama di separuh masa kedua,” ujar Kinoshi.
Mengakui bahawa keputusan seri ini mengecewakan penyokong yang setia hadir walaupun dalam keadaan cuaca buruk, beliau berjanji pasukannya akan bangkit untuk memberikan kemenangan yang diidamkan oleh para peminat.
“Penyokong kami datang menyokong dalam keadaan hujan lebat seperti ini, dan keputusan ini pastinya memberikan tekanan kepada mereka. Jadi, kami perlu mengurangkan tekanan ini dengan kemenangan pada perlawanan seterusnya. Itu adalah sasaran kami,” tegas beliau.
Fokus Selangor kini terarah kepada aksi separuh akhir kedua Challenge Cup menentang lawan yang sama, Penang FC, di Stadium MBPJ pada 2 Februari ini.
Selangor membawa bekalan tipis kemenangan 0-1 daripada perlawanan pertama di Stadium Bandaraya, namun Kinoshi enggan mengambil mudah cabaran daripada skuad Harimau Kumbang.
“Kami berharap keadaan cuaca lebih baik pada perlawanan akan datang. Beberapa pemain kami mengalami kecederaan kecil, tetapi kami mempunyai ramai pemain agresif di bangku simpanan yang boleh diturunkan. Kami akan membuat keputusan terbaik mengenai siapa yang akan bermain nanti,” jelasnya.
Kinoshi turut menekankan bahawa pasukannya tidak pernah berpuas hati dengan keputusan seri, malah menyasarkan kemenangan dalam setiap perlawanan.
“Satu mata tidak mencukupi untuk kami. Sasaran kami adalah tiga mata setiap kali bermain. Kami tidak bermain hanya untuk bertahan atau menjadi juara dengan keputusan seri.
Kami mahu terus meraih kemenangan demi kemenangan. Ini adalah misi utama kami,” katanya lagi.
Dengan masa persiapan selama lapan hari sebelum aksi separuh akhir kedua Challenge Cup, Selangor FC dijangka tampil lebih mantap untuk memastikan tempat mereka ke pentas final kejohanan tersebut, sambil terus mengekalkan momentum dalam saingan Liga Super.