KEHEBATAN Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat Asean dan Asia sememangnya menjadi penanda aras buat kelab-kelab Asia Tenggara lain sehingga banyak kelab yang mahu menjadikan JDT ‘sparring partner’ ketika tempoh pramusim.
Sebelum ini JDT pernah menerima kehadiran dua kelab Liga 1 Thailand, Police Tero dan Chonburi FC yang mengadakan perlawanan persahabatan bersama Harimau Selatan ketika liga berhenti rehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.
Terkini JDT bakal berhadapan kelab Singapura, Lion City Sailors dalam rangka dua perlawanan persahabatan di Singapura dan Iskandar Puteri sebelum skuad kendalian Hector Bidoglio itu berangkat ke Sepanyol untuk kempen pramusim mereka.
⚓️ 𝑫𝒖𝒆𝒍𝒔 𝒘𝒊𝒕𝒉 𝒕𝒉𝒆 𝑺𝒐𝒖𝒕𝒉𝒆𝒓𝒏 𝑻𝒊𝒈𝒆𝒓𝒔! 🐯
The Sailors will play Malaysian giants @officialjohor (JDT) in two friendly matches in April, as the club ramp up their preparations for the upcoming 2024/25 @SGPremierLeague season. #LCSJDT #JDTLCS
⬇️ (1/4) pic.twitter.com/yDaKGQECXq
— lioncitysailorsfc (@lioncitysailors) March 26, 2024
Menerusi hantaran di media sosial rasmi kelab Singapura itu, Lion City Sailors akan bertemu JDT di Stadium Bishan pada 4 April sebelum bertemu sekali lagi di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 April sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Premier Singapura 2024-25.
Ketua pasukan Sailors, Hariss Harun percaya yang dua perlawanan ini akan menjadi medan ujian terbaik buat pasukannya sebelum menghadapi musim baharu liga yang sukar.
“Semua orang di rantau ini tahu mengenai kualiti JDT dan kami juga membina sesuatu di sini jadi kami mahu menguji kekuatan dan melihat sendiri bagaimana kami boleh bersaing dengan mereka.

Hariss Harun akan kembali ke JDT tetapi sebagai pasukan lawan
“Ini juga adalah peluang terbaik untuk beberapa pemain muda yang diserapkan ke pasukan utama musim ini dan kami mahu berikan yang terbaik dalam dua perlawanan ini,” katanya yang memenangi enam trofi Liga Super Malaysia dengan JDT dari 2014 hingga 2020.
JDT juga dapat menambah jumlah perlawanan persahabatan sebelum mengharungi tujuh perlawanan ujian di Sepanyol sebelum bermula saingan Liga Malaysia 2024-25 pada Mei.