Select Page

Jelajah Dunia Akhir BWF : Aaron Chia-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah perlu muncul juara

Jelajah Dunia Akhir BWF : Aaron Chia-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah perlu muncul juara

DUA beregu dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak boleh tersingkir awal dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF, yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, 7 hingga 11 Disember depan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky berkata,berdasarkan reputasi gandingan lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul juara dunia Ogos lalu, mereka seharusnya antara calon yang memburu gelaran.

Sasaran sama juga perlu diterjemahkan Pearly Tan dan M Thinaah, yang mempamerkan aksi luar biasa, menewaskan pemain-pemain ranking tertinggi dunia sebelum menjuarai Terbuka Perancis bulan lalu.

Rexy Mainaky sasarkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan PEarly Tan-M Thinaah ke final Jelajah Dunia Akhir BWF.

“Kalau ikut sasaran realistik saya, saya tidak mahu mereka tersingkir awal, kalau boleh melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu, dan kemudian kita mula lihat kebarangkalian untuk peluang seterusnya.

“Tetapi dengan status Aaron-Wooi Yik sebagai juara dunia, kita tidak boleh meletakkan sasaran hanya realistik begitu, harus menjadi juara, kerana semua yang layak ke saingan itu pasti mahu menjadi juara.

“Begitu juga Pearly dan Thinaah selepas mereka muncul juara Terbuka Perancis, saya lihat jika mereka persembahkan gaya permainan sama di Perancis, tidak mustahil mereka juga mampu menjadi juara,” kata Rexy, ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pagi tadi.

Jelajah Dunia Akhir menjadi kejohanan terakhir dalam kalendar antarabangsa itu menghimpunkan lapan pemain perseorangan dan beregu yang berada dalam kelompok lapan terbaik siri jelajah BWF.

Malaysia menyandarkan sandaran kepada enam wakil di kejohanan ini, dan hanya dua dari skuad kebangsaan, manakala empat lagi pemain profesional yang terdiri daripada beregu campuran, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing dan Shevon Lai-Goh Soon Huat, beregu lelaki Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta beregu wanita, Lim Chiew Sien-Vivian Hoo.

Undian kejohanan itu hanya akan berlangsung 5 Disember depan.

Tahun lalu, perjalanan Pearly dan Thinaah terhenti di peringkat kumpulan, sementara Aaron dan Wooi Yik tidak layak untuk beraksi di kejohanan ini yang diadakan di Bali, Indonesia

Skuad negara dijadualkan berlepas ke Bangkok pada 4 Disember depan.

Video Terkini

Loading...