SEBALIK dibelenggu kecederaan yang membayangi prestasi pemain badminton negara, bintang dalam pembikinan Justin Hoh tetap cekal mahu menempatkan diri dalam kelompok elit pada musim 2024.
Menyasarkan untuk menembusi kelompok 32 terbaik dunia, Justin, 20, yang kini berada di ranking ke-67 dunia berkata, sasaran itu dibuat bagi membolehkan dirinya layak beraksi pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 dan ke atas.
“Harapan saya mahu bebas dari kecederaan dan menembus masuk dalam ranking 32 teratas kerana ia boleh membantu saya melayakkan diri ke kejohanan yang besar.

Justin Hoh, 20, berharap tidak dibelenggu kecederaan sepanjang 2024 dan mahu menempatkan diri dalam kelompok Top 32 dunia.
“Sekarang proses pemulihan berjalan lancar dengan kejohanan pertama musim depan adalah pada Thailand Masters (30 Januari hingga 4 Februari).
“Saya juga berharap untuk cuba melakukan kejutan menewaskan pemain-pemain ternama,” katanya, ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Dalam pada itu, Justin yang juga bekas juara remaja Asia mengakui masih trauma turun ke gelanggang selepas beberapa kali dibelenggu masalah kecederaan.

Justin Hoh, mahu mengatasi pemain sebayanya di pentas antarabangsa, dan mahu menjadi yang pertama memasuki kelompok Top 32.
Pemain itu berdepan kecederaan putus tendon achilles pada kaki kirinya pada April lalu sehingga menyebabkan dia terpaksa berehat selama lapan bulan dan terlepas peluang beraksi di Sukan SEA Kemboja.
Selepas kembali menyertai kejohanan bulan lalu, Justin sekali lagi berdepan masalah kecederaan apabila mengalami kecederaan tapak kaki ketika beraksi pada kejohanan Masters Guwahati, awal bulan ini.
“Kecewa memang ada terutamanya bila mendapat kecederaan, tapi tidak terlalu kecewa kerana ia (tapak kaki) kecederaan kecil. Selain itu, apabila pulang ke tanah air pun, sudah tidak ada kejohanan.
“Kalau nak diikutkan, memang ada rasa takut sikit, takut kecederaan datang semula, tetapi buat masa sekarang proses pemulihan saya bagus. Setakat ini, memang tidak mengganggu latihan saya,” katanya.