PASUKAN Johor Jewels terus memperkukuhkan skuad mereka apabila mengumumkan kemasukan bintang bola jaring Australia, Matilda “Tilly” McDonell bagi menghadapi saingan Netball Super League Regional Cup 2026.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi kenyataan rasmi Johor Jewels di platform media sosial pasukan itu.

Menurut kenyataan berkenaan, pihak pengurusan teruja menyambut kehadiran pemain berusia 25 tahun itu untuk memperkuat cabaran pasukan dalam kejohanan yang akan berlangsung dari 14 hingga 17 Mei ini.

Sebelum pengumuman rasmi dibuat, perpindahan McDonell sebenarnya sudah mula menjadi bualan dalam kalangan peminat bola jaring tempatan selepas Johor Jewels memberi bayangan mengenai ketibaan seorang pemain baharu.

Malah, ramai penyokong berjaya meneka identiti pemain tersebut selepas wajah bekas pemain Giants Netball itu dipaparkan secara samar dalam bahan promosi pengumuman pasukan.

Kehadiran McDonell turut dianggap mengejutkan memandangkan beliau sebelum ini dilaporkan bakal menamatkan karier profesionalnya pada Mac lalu berdasarkan kenyataan yang disiarkan Giants Netball.

Johor Jewels dilihat pantas mencari pengganti selepas legenda New Zealand, Laura Langman meninggalkan pasukan sejurus tamat kempen Netball Super League musim ini.

McDonell dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan benteng pertahanan Johor Jewels sepanjang saingan Regional Cup nanti.

Beliau bakal bergandingan dengan seorang lagi pemain import berprofil tinggi, Gretel Bueta yang sebelum ini membantu Johor Jewels mara ke final NSL 2026.

Johor Jewels menamatkan musim lalu selaku naib juara selepas tewas kepada Terengganu Marvels dalam aksi final.